sukan

Malaysia berjaya tambah satu slot

Tindakan tegas yang selari dengan kriteria pelesenan kelab kini membuahkan hasil apabila berjaya mengurangkan hampir 99 peratus masalah kelab di Liga Malaysia (Liga M).

Garis panduan pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah dilaksanakan dalam saingan Liga M sejak 2018 lalu dan ia menunjukkan perkembangan positif.

Berdasarkan data yang dikongsikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), terdapat sebanyak 252 kes pada 2018 lalu dan kini ia berkurangan sehingga hanya terdapat empat kes aktif dilaporkan berkaitan isu tunggakan gaji.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha Unit Pelesenan Kelab First Instance Body (FIB) dalam memastikan kesemua pasukan mengikut garis panduan pelesenan yang sudah ditetapkan.

Antara proses yang dilaksanakan jawatankuasa ini adalah memastikan semua pasukan dalam Liga M mengemaskini mengenai kriteria perlesenan kelab oleh AFC dan kita boleh nampak kesan dan impaknya selepas ia dilaksanakan.

Di mana kelab kini tampil lebih profesional, permainan di atas padang bertambah baik bagi membawa keseimbangan kepada industri.

“Pada 2018 saya kerap katakan, terdapat 255 kes dan kini kita hanya ada empat kes aktif yang babitkan isu tunggakan gaji. Ini semua atas usaha komiti kelab perlesenan yang sudah melakukan kerja dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada masa sama, Stuart turut mengakui tahap profesionalism setiap kelab semakin baik disamping tahap kualiti liga tempatan juga menunjukkan peningkatan hingga berjaya meraih penambahan slot dalam saingan kelab-kelab peringkat AFC.

Malah disebabkan itu juga, kita berjaya menambah slot pasukan kita di pertandingan AFC. Kelab berjaya menambah slot itu disebabkan persembahan yang terbaik, ditambah dengan pengurusan profesional oleh kelab-kelab.

“Ia membolehkan mereka menyertai saingan di peringkat AFC, jadi saya ucapkan tahniah kepada komiti yang membantu mengubah landskap bola sepak kita,” katanya.

Ketika ini, Liga M terus mencuri perhatian apabila meraih tiket automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta dua slot ke Piala AFC.

Situasi itu dijangka berubah pada musim 2024 selepas kedudukan ranking MA AFC menunjukkan Liga M kini menduduki tangga kelapan seperti mana yang dipaparkan oleh laman sesawang FootyRanking.

Malaysia menghimpun 49.722 mata untuk menjadikannya kekal nombor satu dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan Vietnam berada di belakang (44.656 mata) diikuti Thailand (40.261 mata), Singapura (20.429 mata), dan Indonesia (14.702 mata).

sumber:- HM

Lantas, dengan Kedudukan tertinggi itu menyaksikan wakil negara akan diberikan slot 2+2 iaitu 2 slot automatik ke peringkat kumpulan ACL dan 2 slot lagi ke peringkat play-off pada 2024 nanti.