sukan

Sekurang-kurangnya 2 juta

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) disaran meletakkan syarat wajib semua pasukan bertanding saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan perlu mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya RM2 juta.

Pemerhati sukan tanah air, Mohd Sadek Mustafa berpandangan, syarat itu dilihat cukup relevan bagi memastikan setiap pasukan bertanding mempunyai bukti kewangan kukuh.

Jelasnya lagi, simpanan itu mampu untuk membantu pasukan Liga-M sekiranya berdepan masalah kewangan sekali gus mengelakkan masalah tunggakan gaji yang sentiasa membelenggu pada setiap musim.

MFL perlu mewajibkan setiap pasukan bertanding Liga-M 2023, sekurang-kurangnya mempunyai simpanan tetap RM2 juta untuk digunakan ketika waktu kecemasan. Seingat saya, MFL pernah menganjurkan setiap kelab mempunyai simpanan tetap namun tidak diwajibkan.

Sebab MFL perlu ingat musim depan sudah tentu akan lebih mencabar terutamanya buat pasukan Liga Super memandangkan mereka perlu keluar duit yang lebih banyak berbanding musim ini. Jadi, mungkin akan ada pasukan yang mempunyai masalah kewangan pertengahan musim.

Justeru itu, dengan mewajibkan kelab mempunyai simpanan tetap, ia secara tidak langsung mampu meringankan beban kelab berkenaan sekiranya mempunyai masalah pada kemudian hari. Mungkin masalah tunggakan gaji tidak timbul pada musim depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Rabu, Sarawak United dan Melaka United gagal meraih lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga-M 2023 selepas gagal memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun diberi peluang membuat rayuan sehingga 19 Oktober ini.

Dalam pada itu Mohd Sadek turut menyarankan pasukan bertanding khususnya yang tenat dari segi kewangan supaya mempertimbangkan memperkenalkan gaji siling ataupun skim gaji kepada pemain.

Jelasnya, ia secara tidak langsung mampu membantu pasukan bertanding untuk mencongak kedudukan kewangan dan menyediakan bajet khusus dalam satu-satu musim dengan adanya gaji siling.

Bagi saya, pasukan berdepan masalah kewangan perlu buat penetapan gaji siling ini kerana ia mampu menstabilkan semula kedudukan kewangan. Kalau mereka gagal menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini, mereka akan tenggelam.

sumber:- SH

“Berpijaklah di bumi nyata kerana kos gaji sentiasa menjadi isu besar yang mengheret mereka sehingga ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Inilah yang selalu membuat mereka terperangkap,” ujarnya.