sukan

Tebus kekecewaan ke saingan AFC

Selepas cemerlang membantu Terengganu FC (TFC) merakam kemenangan dalam empat aksi terakhir Liga Super, penjaga gol Mohd Suhaimi Husin tidak rela impiannya untuk mara ke pentas Asia musim depan tersekat.

Justeru, pemain berusia 28 tahun itu yang memulakan kariernya dengan pasukan kelab, Hanelang FC pada 2014 tekad untuk mengawal pintu golnya daripada dibolosi dalam aksi terakhir menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu ini.

Suhaimi mahu membalas kepercayaan barisan kejurulatihan yang menyenaraikannya dalam kesebelasan utama pada empat aksi berturut-turut ketika membenam Penang FC, Sabah FC, Melaka United FC (MUFC) dan terbaharu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

“Aksi menentang Kedah sudah pasti sukar buat kami kerana masing-masing mahu menamatkan saingan dengan noktah kemenangan, tambahan pula kami beraksi di gelanggang lawan.

“Namun, saya tidak rela terlepas peluang untuk beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan kerana hanya selangkah sahaja lagi bagi merealisasikan impian itu.

“Jadi secara peribadi saya tekad untuk mengulangi pencapaian cemerlang dalam aksi terakhir liga itu selain mengharapkan barisan pertahanan yang diketuai Pape Diakite bekerja lebih keras untuk menghalang jentera serangan lawan,” katanya.

Bekas penjaga gol TFC II itu berkata, dia dan rakan sepasukannya tidak sesekali mengharapkan ihsan pasukan lain kerana baginya kemenangan pasukannya sudah boleh menjamin tiket ke pentas Asia.

“Kami mempunyai peluang cerah untuk layak ke saingan Piala AFC walaupun dua lagi pencabar iaitu Sabah FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) turut berpeluang.

sumber:-HM

“Tetapi, kami tidak mahu memikirkan pasukan lain kerana yang penting kami wajib menang,” katanya mahu tebus kekecewaan gagal beraksi di pentas Piala AFC musim lalu kerana dibatalkan susulan wabak pandemik C0vid-19.