sukan

MFL sahkan slot kedua bakal diberi

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan slot kedua Piala AFC akan menjadi milik juara Piala Malaysia musim ini seperti mana yang sudah diputuskan pada awal musim sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun ini.

Jelas MFL, tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pasukan di tangga ketiga Liga Super akan diberikan tiket itu.

Sebaliknya hanya naib juara akan menerima slot ke Piala AFC, manakala satu lagi bakal diberikan kepada juara Piala Malaysia.

Selain surat pekeliling yang diberikan kepada semua pasukan pada awal musim ini, beberapa perbincangan mengenai perkara ini juga dibincangkan bersama pasukan.

“Jadi tidak benar dikatakan pasukan di tangga ketiga Liga Super akan meraih slot ke Piala AFC sedangkan ia sudah dibincangkan sebelum ini,” kata sumber MFL ketika dihubungi.

Difahamkan, pada awal musim MFL mengedarkan pekeliling berkenaan keputusan yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah termasuk mengenai pembahagian slot ke saingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti Liga Juara Juara Asia (ACL) dan Piala AFC untuk tahun 2023.

Berdasarkan pemakluman itu, terdapat tiga kaedah iaitu yang pertama, juara Liga Super akan diberikan tiket ke ACL, manakala juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super akan beraksi di Piala AFC.

Pilihan kedua pula menyatakan, jika juara Liga Super dan juara Piala FA adalah pasukan yang sama, maka satu slot ke Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala Malaysia musim ini bersama naib juara Liga Super.

Manakala pilihan ketiga pula menyaksikan jika juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia adalah pasukan sama, maka pasukan di tangga ketiga Liga Super akan mengikut naib juara liga untuk bermain di Piala AFC musim depan.

sumber:- HM

Untuk rekod, pada musim lalu juara Piala Malaysia iaitu Kuala Lumpur City FC diberikan tiket ke Piala AFC musim ini bersama Kedah Darul Aman FC yang muncul naib juara Liga Super musim lalu.