sukan

Sungguh tak disangka

“Saya terkejut dan tidak menyangka kata-kata hinaan itu berlaku dalam Liga Malaysia (Liga M),” demikian luahan kekecewaan pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Pape Diakite.

Pemain beragama Islam kelahiran Senegal itu berkata demikian selepas dia dihina dengan kata-kata ‘Negro bodo’ oleh segelintir penyokong Melaka United FC (MUFC) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, 7 Oktober lalu yang berkesudahan memihak kepada TFC dengan kemenangan 4-2.

Bagaimanapun pemain tinggi lampai berusia 30 tahun itu berkata, hinaan berbentuk rasis itu tidak sesekali menjejaskan prestasinya dalam misi membantu pasukannya mara ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan cabaran Piala Malaysia nanti.

Namun pemain yang baharu musim pertama membuat penampilan dalam Liga M itu meletakkan harapan yang tinggi agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menangani isu itu dengan sebaik mungkin bagi mengelak ianya menjadi ‘barah’.

“Pertama kali saya mendengar dihina dengan perkataan ‘Negro bodo’ di Melaka, ianya satu kejutan bagi saya sebagai negara Islam yang saya rasa ianya tidak akan berlaku.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, pada mulanya saya hanya kecewa dalam permainan, tapi saya tidak menunjukkannya, selepas perlawanan, saya bersuara menerusi laman sosial saya.

“Secara peribadi ianya tidak menjejaskan prestasi kerana fokus kini membantu pasukan, lagipun saya tidak boleh menutup mulut orang, tetapi saya hanya boleh bercakap untuk diri saya sendiri dan semua pemain lain,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut, Diakite menjelaskan peristiwa itu berlaku ketika perlawanan sedang berlangsung pada babak kedua.

“Ia berlaku pada separuh masa kedua, saya mendengarnya, pengadil pun mendengarnya. Saya pun ada memaklumkan kepada pengadil, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa, ramai pemain juga mendengarnya termasuk pemain Melaka.

“Jelas sekali mereka menghina saya dengan perkataan bodoh berulang kali, saya juga memberitahu pengadil dan dia mendengarnya, jika di Eropah, pengadil akan menghentikan permainan dan cuba mengenal pasti individu berkenaan.

sumber:-HM

“Justeru saya harap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu selepas ini, harus ambil tindakan untuk membendung perkara ini bagi mengelak berlaku lagi selepas ini,” katanya yang pernah mengalami perkara sama sebelum ini dalam Liga Slovakia.