sukan

Kekalahan kelima KDA FC melayakan TFC ke saingan AFC

Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat ke Piala AFC musim depan apabila membenam Kedah 3-1 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Kekalahan skuad Kenari itu menyaksikan mereka gagal bangkit untuk menceriakan penyokong selepas gagal mengutip sebarang mata menerusi empat perlawanan terdahulu.

TFC terlebih dahulu mengasak kubu tuan rumah dengan serangan pantas daripada Faisal Halim seawal minit pertama yang mengkucar-kacirkan benteng tuan rumah namun percubaannya dihalang penjaga gol, Ilham Amirullah.

Faisal bagaimanapun menebus kekecewaan itu apabila menyudahkan hantaran Habib Haroon, tiga minit kemudian.

Kedah cuba bangkit melalui percubaan pemain importnya Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-11 namun percubaannya lemah dan diselamatkan oleh penjaga gawang TFC, Suhaimi Husin.

Sedang Kedah berusaha memburu gol, TFC yang beraksi dengan motivasi tinggi berjaya menambah jaringan gol kedua pada minit ke-16 melalui sentuhan penyerang Kipre Tchetche yang mendapat lorongan daripada Manuel Ott.

Kedah cuba meningkatkan serangan ke kubu TFC melalui gerakan Syazwan Zainon dan Mahmoud namun gagal menghasilkan gol hingga ke hujung babak pertama.

Bermula babak kedua, TFC terus mencemaskan kubu Kedah dengan percubaan Nik Sharif Haseefy, Pape Diakite, Tchetche dan Faisal masing-masing pada minit ke-51, 52, 55 dan 68 namun gagal menghasilkan gol tambahan.

Ketika Kedah masih tercari-cari gol pertama, TFC pula menambah luka Kedah apabila Tchetche meledak gol ketiga pada minit ke-74 selepas mendapat hantaran pemain gantian Faiz Nasir.

sumber:- BH

Bagaimanapun, usaha tuan rumah mencari gol akhirnya berjaya pada minit ke-88 melalui percubaan yang dilakukan pemain import, Dechi Marcel yang menerima hantaran Mahmoud.