sukan

Komen Nafuzi setelah pencapaian luar biasa TFC

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang dilakar pemainnya pada musim ini apabila muncul naib juara Liga Super selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Disifatkan sebagai satu pencapaian yang luar biasa, pengendali berusia 44 tahun itu turut mendedikasikan kejayaan skuad Penyu layak ke saingan Piala AFC musim depan kepada seluruh penyokong yang sangat mengharapkan pencapaian tertinggi itu.

“Saya sangat bersyukur kerana pasukan berjaya mendapatkan tiga mata yang sangat berharga dan sekali gus melayakkan kami ke saingan Piala AFC musim depan selepas muncul naib juara Liga Super musim ini.

“Pemain tahu untuk ke saingan peringkat Asia ini adalah satu harapan tinggi yang diletakkan oleh penyokong selama ini, jadi saya mahu menghadiahkan kelayakan ke Piala AFC ini untuk seluruh penyokong TFC.

“Dalam tempoh tiga tahun, dua kali kami mendapat peluang ke AFC tetapi yang pertama dibatalkan sebab wabak C0vid-19 dan kali ini memang kami dapat merealisasikan peluang ini dan saya rasa cukup gembira kerana penyokong tunggu begitu lama,” katanya.

Menjurus kepada pencapaian yang dilakar pasukan, Nafuzi memuji usaha dan komitmen tinggi anak buahnya yang bekerja keras sejak awal musim ini dalam membantu membuahkan kejayaan skuad Penyu.

“Pemain memang berada dalam momentum yang baik dan malam ini (semalam) kita mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut dan saya bangga dengan mereka kerana bukan senang nak mencipta rekod sebegini dengan sembilan perlawanan tanpa kalah berturut-turut dan saya rasa ini satu yang luar biasa .

“Kami juga sebenarnya melalui banyak kesukaran sejak bermulanya liga musim ini dengan aksi mula kami tewas 0-3 kepada PJ City dan kami tidak konsisten, namun dari segi kemampuan dan keupayaan, pemain berjaya meningkatkan rentak hingga ke final Piala FA musim ini dan seterusnya ia memberi kekuatan moral hingga kami mencapai kedudukan kedua liga dan layak ke Piala AFC.

“Saya rasa ini pencapaian yang luar biasa dengan pemain yang saya ada ini berserta beberapa pemain muda dan kami asah mereka untuk meningkatkan keupayaan memandangkan kami bukanlah pasukan yang memilki perbelanjaan yang besar,” katanya.

Menyentuh mengenai lanjutan kontrak bersama TFC yang belum dihebahkan secara rasmi oleh pihak pengurusan TFC, beliau bagaimanpun menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan untuk membuat pengumuman selanjutnya selepas ini.

sumber:-HM

“Saya belum mendapat apa-apa tawaran pada ketika ini dan apapun kita tunggu keputusan dari pihak pengurusan,” katanya.