Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain melahirkan rasa bangga dengan pencapaian dilakar semua pemainnya pada musim ini apabila muncul sebagai naib juara Liga Super selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-3 di Stadium Darul Aman malam tadi.
Disifatkan sebagai satu pencapaian yang luar biasa, pengendali berusia 44 tahun ini turut mendedikasikan kelayakan skuad Penyu ke saingan Piala AFC musim depan kepada seluruh penyokong yang sangat mengharapkan pencapaian tertinggi itu.
Saya sangat bersyukur kerana pasukan berjaya mendapatkan tiga mata yang sangat berharga sekali gus melayakkan kami ke saingan Piala AFC musim depan selepas muncul naib juara Liga Super musim ini.
Pemain tahu untuk ke saingan peringkat Asia ini adalah satu harapan tinggi diletakkan penyokong selama ini, jadi saya mahu menghadiahkan kelayakan ke Piala AFC ini untuk seluruh penyokong TFC.
“Dalam tempoh tiga tahun, dua kali kami mendapat peluang ke AFC tetapi yang pertama dibatalkan sebab C0VID-19 dan kali ini memang kami dapat merealisasikan peluang ini dan saya rasa cukup gembira kerana penyokong telah tunggu begitu lama,” katanya.
Nafuzi memuji usaha dan komitmen tinggi anak buahnya yang bekerja keras sejak awal musim ini dalam membantu membuahkan kejayaan skuad Penyu yang disifatkannya sebagai pencapaian terbaik sejak mengendalikan pasukan.
Menyentuh mengenai lanjutan kontrak bersama TFC, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan untuk membuat pengumuman selanjutnya selepas ini.
Saya belum mendapat apa-apa tawaran pada ketika ini, apa pun kita tunggu keputusan dari pihak pengurusan.
“Buat masa ini saya mahu terus fokus melengkapkan tugas musim ini dengan sasaran terbaru dalam saingan Piala Malaysia kelak dan saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan kedudukan saya bersama pasukan pada musim depani,” katanya.
sumber:- BH
Mengenai khabar angin yang mengaitkan nama beliau ke Kedah, Nafuzi bagaimanapun menganggap spekulasi seperti itu memang biasa buat mana-mana jurulatih pada setiap hujung musim.