sukan

JDT diibaratkan sebagai ‘pemegang kunci’

Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh diibaratkan sebagai ‘pemegang kunci’ kepada pasukan lain untuk bersaing di Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim 2023.

Itu pandangan penganalisis bola sepak negara Datuk Richard Scully terhadap senario membabitkan slot kedua Piala AFC yang masih lagi kosong memandangkan akan diisi oleh juara Piala Malaysia seperti diputuskan pada awal saingan Liga Super.

Richard berkata, JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut sudah tentu mahu mencipta sejarah tersendiri dengan menjulang Piala Malaysia pada musim ini.

Beliau berkata, situasi terbabit jika berlaku sekali gus memberi peluang kepada Sabah FC yang berada di kedudukan ketiga Liga Super menyambar tiket untuk beraksi di pentas Piala AFC.

Jika melihat atas kertas, hampir mustahil JDT dapat ditewaskan pada saingan Piala Malaysia terutama mereka mahu melakar ‘treble’ kali pertama dengan memenangi semua piala pada musim ini.

Kalau berlaku pun, mungkin disebabkan kesilapan individu atau corak permainan serba tidak menjadi sekali gus memberi peluang dan ruang pada pasukan lain untuk bergelar juara Piala Malaysia.

“Sebab itu, saya katakan JDT umpama pemegang ‘kunci pintu’ kepada pasukan lain beraksi di Piala AFC kerana segalanya bergantung kepada pasukan Harimau Selatan untuk menentukan siapa mengisi slot kedua itu,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan slot kedua Piala AFC akan menjadi milik juara Piala Malaysia musim ini seperti mana yang sudah diputuskan pada awal musim sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula tahun ini.

Jelas MFL, tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pasukan di tangga ketiga Liga Super akan diberikan tiket itu.

Sebaliknya hanya naib juara akan menerima slot ke Piala AFC, manakala satu lagi bakal diberikan kepada juara Piala Malaysia.

Berdasarkan pemakluman itu, terdapat tiga kaedah iaitu yang pertama, juara Liga Super akan diberikan tiket ke ACL, manakala juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super akan beraksi di Piala AFC.

Pilihan kedua pula menyatakan, jika juara Liga Super dan juara Piala FA adalah pasukan yang sama, maka satu slot ke Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala Malaysia musim ini bersama naib juara Liga Super.

sumber:- HM

Manakala pilihan ketiga pula menyaksikan jika juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia adalah pasukan sama, maka pasukan di tangga ketiga Liga Super akan mengikut naib juara liga untuk bermain di Piala AFC musim depan.