sukan

Nama Aidil Sharin disebut-sebut sebagai penganti

Ke mana hala tuju Aidil Sharin Sahak selepas bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu yang sah meninggalkan skuad dari Utara kelmarin, selepas empat musim bersama?

Khabar angin kian bertiup kencang selepas pengendali dari Singapura itu didakwa tidak `berpindah’ jauh daripada Kedah dengan destinasi terbaharu adalah pasukan yang berjiran dengan negeri Jelapang Padi itu.

Sp3kulasi itu diperkuatkan selepas gambar Aidil yang dikatakan menuju ke Pejabat Ketua Menteri dan EXCO Pulau Pinang (PP) tersebar di laman media sosial penyokong skuad Harimau Kumbang.

Kemungkinan dia bakal menjadi teraju baharu Penang FC bukanlah satu perkara yang mustahil, apatah lagi Penang sudah merehatkan pengendali sedia ada, Datuk Zainal Abidin Hassan manakala Manzoor Azwira pula dilantik sebagai pengendali sementara.

Jika situasi ini benar, kehadiran Aidil yang diberi julukan ‘Pep Guardiola Singapura’ pasti ditagih pengurusan skuad Harimau Kumbang selepas berdepan prestasi hambar sepanjang musim 2022.

Penang yang bertukar jurulatih sebanyak dua kali pada musim ini menamatkan saingan di tangga tercorot selepas hanya mengutip dua kemenangan daripada 22 perlawanan.

Mereka dijadual berdepan pasukan Liga Perdana, Kuching City FC pada pusingan 16 pasukan saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya, minggu depan.

Sebagai rekod, Aidil melakar pencapaian yang boleh dianggap cemerlang apabila membawa Kedah muncul juara Piala FA 2019 selain menjadi naib juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021.

sumber:- BH

Skuad Sang Kenari turut layak ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 dan kejayaan membawa Kedah tiga tahun berturut-turut ke perlawanan playoff Liga Juara-Juara Asia serta saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.