sukan

Pengalaman EPL bekal aksi final Piala AFC

Pengalaman beraksi di pentas tertinggi terutama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Tottenham Hotspur dan Swansea City dari 2012-2015 akan digunakan sebaiknya tonggak pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco pada aksi final Piala AFC, Sabtu ini.

KL City akan berdepan juara Liga Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang disifatkannya sebagai umpama cerita fantasi yang kini hampir menjadi realiti.

Pemain kelahiran Australia berusia 27 tahun itu berkata, dia akan memberi sepenuh kudrat termasuk mencurahkan segala pengalamannya ketika beraksi di Eropah bagi membantu skuad The City Boys melakar sejarah menjulang trofi itu.

“Dalam karier saya pernah bermain dalam Piala FA di UK (United Kingdom), bermain dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan dalam beberapa kejohanan tertinggi, jadi saya harap dalam usia 27 tahun ini saya dapat membantu pasukan termasuk pemain muda untuk menghadapi suasana kemuncak yang mungkin tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Ia ibarat peluang sekali dalam seumur hidup yang boleh dijadikan kenangan bermakna selepas habis perlawanan ini.

“Jadi kita perlu turun dan nikmati setiap detik sama ada di Stadium Nasional Bukit Jalil (ketika final nanti) atau di padang latihan dan di akhirnya, ia tetap mengenai 11 pemain di atas rumput sama.

“Saya akan cuba memberi semangat dan motivasi sama ada di bilik persalinan atau di padang bagi memastikan misi tercapai,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Selain pernah beraksi di EPL, tonggak pertahanan tengah itu pernah beraksi untuk beberapa kelab utama Liga Australia termasuk Melbourne Victory apabila kelab itu beraksi dalam saingan ACL.

Dia yang membantu KL City menjulang Piala Malaysia pada musim lalu mengakui gembira dapat membawa nama Malaysia di pentas Asia itu.

Ia ibarat mimpi jadi kenyataan dan sebuah cerita fantasi yang menjadi realiti apabila kami di kelab kecil, tetapi berjaya melepasi setiap halangan.

sumber:- HM

“Saya sangat gembira dapat mewakili Malaysia dalam aksi final yang akan turut berlangsung di Malaysia,” katanya.