sukan

JDt tidak boleh sambil lewa

Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) secara automatiknya menjadi pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia sekali gus melengkapkan trebel selepas sudah pun merangkul Piala FA dan Liga Super musim ini.

Namun itu tidak bermakna skuad Harimau Selatan boleh ‘lenggang kangkung’ sambil mengimpikan membawa pulang piala berprestij itu memandangkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan melihat beberapa pasukan mampu menyekat JDT daripada melakar trebel.

Justeru, jurulatih berpengalaman itu menegaskan skuad bimbingan Hector Bidoglio itu tetap perlu berhati-hati pada kempen kali ini dan perlu turun dengan percaturan terbaik seandainya tidak mahu dikecewakan oleh pasukan lain.

Bagi aksi pertama pun, saya lihat PJ City FC bukan calang-calang. Jadi itu adalah satu perlawanan yang menarik. Piala Malaysia adalah satu pertandingan yang boleh dianggap kemuncak jadi semangat pasukan juga pasti lain macam.

Kita tidak nafikan JDT adalah pasukan pilihan tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi. Untuk itu, saya melihat antara pasukan yang boleh mencabar JDT adalah Sabah FC dan Terengganu FC (TFC).

“Jadi, JDT perlu berusaha lagi untuk terus memperbaiki permainan mereka dan tidak mengambil mudah pertandingan ini,” katanya kepada BH Sukan.

Pandangan sama turut diutarakan pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas jurulatih PDRM FC, Mohd Fauzi Pilus yang mengakui beberapa pasukan turut memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan pada Piala Malaysia kali ini.

Apa yang saya nampak, kalau mengikut blok undian, Sabah FC boleh memberi cabaran jika mereka terus maju sehingga ke separuh akhir. Dalam satu lagi blok, TFC dan Selangor FC pun ada kemampuan juga.

“Selangor ketika ini berada dalam momentum yang terbaik dengan corak permainan berbeza di bawah kendalian Tan Cheng Hoe. Prestasi TFC pun cemerlang tetapi untuk saingan kali ini, pasukan lain pun akan cuba buat kejutan sebagai ‘underdog’.”

sumber:- BH

“Peluang masih terbuka jadi sudah tentu kita boleh tunggu kejutan tercipta. Apa yang penting adalah setiap pasukan membuat persiapan yang rapi,” katanya.