sukan

Sabah tagih khidmat pemain dari Korea Selatan

Selepas empat musim bersama Sabah FC, pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-su sekali lagi dikekalkan dalam pasukan skuad Sang Badak untuk kempen Liga Super musim depan.

Malah, bukan setakat semusim, kontrak Tae-su atau nama jolokannya ‘Pak Karim’ disambung selama dua tahun lagi sehingga 2024.

Tae-su yang bermain di posisi tengah menandatangani kontrak berkenaan semalam di hadapan Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir.

Ini bermakna, Sabah sangat mengharapkan khidmat Tae-su yang pada musim ini berjaya menyumbang lapan gol dalam 19 perlawanan Liga Super.

Ahmad Marzuki sendiri memaklumkan penyambungan kontrak Tae-su menerusi perkongsiannya di laman Facebook beliau, semalam.

“Park Tae-su menyambung kontraknya bersama Kelab Bola Sepak Sabah. #RaduTatapRadu,” katanya.Perkongsian itu mendapat maklum balas positif penyokong bola sepak Sabah yang rata-ratanya memberi komen positif terhadap penyambungan kontrak Park bersama skuad negeri.

Malah, ada netizen mencadangkan supaya Tae-su diberi taraf pemain naturalisasi kerana memasuki tahun kelima bersama Sabah FC pada tahun depan.

Menjawab cadangan itu, Ahmad Marzuki menjelaskan Tae-su boleh dinaturalisasikan selepas 12 Januari 2024.

Sepanjang aksi Liga Super musim ini, kelibat Tae-su sentiasa menjadi perhatian terutama kebolehannya menyudahkan hantaran rakan kepada gol melalui tandukan berbisanya.

Tae-su juga dilihat menjadi gandingan yang serasi bersama kapten skuad Sang Badak musim ini, Baddrol Bakhtiar berikutan banyak hantaran Baddrol terutama sepakan percuma berjaya disambut dengan baik olehnya untuk diterjemah kepada gol.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pasti memasukkannya dalam kesebelasan utama pasukan setiap kali perlawanan kecuali jika Park mengalami kec3deraan.

Menjelang aksi Piala Malaysia yang bermula 26 Oktober ini, khidmat Park bersama tonggak lain pasti sekali lagi ditagih terutama untuk mengejar misi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mendapatkan slot ke Piala AFC.

Namun, setakat ini Kim Swee belum membuat sebarang pengumuman berkenaan kesebelasan utama Sabah FC untuk saingan Piala Malaysia 2022.

sumber:- BH

Sabah FC akan bertemu UiTM FC dalam perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium UiTM pada 26 Oktober ini sebelum UiTM bertandang ke Stadium Likas dalam perlawanan kedua pada 31 Oktober.