sukan

KDA FC akan ambil tindakan undang-undang

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menafikan pihaknya mempunyai isu tunggakan gaji selama lima bulan sehingga menyebabkan prestasi skuad Sang Kenari mengalami kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super musim ini.

Reaksi berkenaan dimaklumkan media KDA FC memenerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali semalam, berikutan terdapat tuduhan dan penyebaran meluas di media sosial yang mengaitkan nama Sang Kenari dengan isu tunggakan gaji.

KDA FC telah menerima laporan sejak semalam berkenaan isu tuduhan bahawa KDA FC menghadapi tunggakan lima bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

KDA FC dengan ini menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, kelab pada mana-mana tempoh menghadapi isu tunggakan gaji sehingga lima bulan. Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.

“Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila C0VID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana telah menjejaskan penajaan kelab dan ketika itu, pasukan Kedah di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama lima bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan pada ketika itu,” katanya.

Khamal juga berkata kenyataan sedemikian adalah satu fitnah untuk mencalarkan imej serta reputasi kelab dan pengurusan KDA FC yang telah melalui proses penswastaan.

Kenyataan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga lima bulan adalah satu kenyataan fitnah dan KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.

sumber:- HM

“Pihak KDA FC akan mengenal pasti pemilik akaun yang mengeluarkan kenyataan ini dan semua akaun media sosial dan portal yang memainkan isu ini, seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan,” katanya.