sukan

Pearly puas hati Aksi berdepan Juara Dunia

BIARPUN langkah tersekat di pusingan kedua Terbuka Denmark, pemain beregu wanita negara, Pearly Tan meluahkan rasa gembira dengan tahap kesihatannya selepas pulih daripada kec3deraan hamstring di Terbuka Jepun awal bulan lalu.

Pearly turun ke gelanggang di Odense pada Khamis bersama pasangannya M. Thinaah dan hampir melakar kejutan ke atas juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana dapat kembali ke gelanggang dalam masa sesingkat ini dengan keadaan yang bagus,” ujar Pearly.

Pasangan itu yang tewas pada set pertama 18-21 bangkit memenangi set kedua 22-20 untuk mengheret pasangan pilihan pertama kejohanan itu beraksi di set penentuan.

Dalam persaingan set ketiga Pearly-Thinaah, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 memberikan cabaran hebat sebelum kalah 17-21.

“Saya menikmati persaingan dengan juara dunia ini tetapi masih ada banyak lagi perkara yang harus kami perbaiki terutama strategi ketika mata penting,” kata Pearly.

Pasangan yang menghuni ranking ke-11 dunia itu dijadualkan menyertai Terbuka Perancis di Paris bermula pada Selasa.

Mereka kemudian dijangka terbang ke Jerman bagi menghadapi saingan Terbuka Hylo dari 1 hingga 6 November.

“Sama seperti sebelum ini, kami akan mengambil setiap perlawanan secara satu demi satu. Saya akan memberikan fokus kepada permainan dan memberikan segala-galanya.

“Kita lihat perkembangannya nanti,” ujar Pearly yang berusia 22 tahun itu.

Selain merangkul pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pasangan negara itu pernah beraksi di tiga pentas separuh akhir, masing-masing di Masters Malaysia, Masters Indonesia dan Terbuka Thailand.

Kami mohon jasa baik anda untuk mengisi borang kaji selidik di atas untuk mendapatkan pendapat dan penilaian anda terhadap kandungan di Sinar Harian Online dengan hanya klik di poster di atas
Kami sangat menghargai penilaian dan masa anda.

sumber:- SH
Kaji Selidik ini akan membantu kami meningkatkan kualiti kandungan di Sinar Harian Online. Terima Kasih dan teruskan menjadi pembaca setia kami.