sukan

Peluang KL City cipta sejarah

Tanggal 30 November 2021, Stadium Nasional, Bukit Jalil menjadi saksi Kuala Lumpur (KL) City mencipta detik manis apabila mengejutkan pasukan elit, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menamatkan penantian 32 tahun menjulang Piala Malaysia.

Kini, pasukan yang dianggap kerdil itu kembali lagi ke gelanggang keramat skuad kebangsaan Harimau Malaya itu untuk menghadapi pentas lebih besar iaitu final Piala AFC, malam ini.

Tugas anak buah Bojan Hodak kali ini lebih berat apabila mereka akan berdepan juara Liga Oman, Al Seeb yang turut membawa status sebagai pasukan pilihan untuk memenangi trofi itu.

Soal status pasukan kerdil atau gergasi ketika ini tidak lagi penting kerana apabila memasuki pentas final, kedua-dua pasukan akan memiliki peluang untuk muncul juara.

Perkara itu sudah dibuktikan KL City ketika mengatasi juara Liga Super, JDT 2-0 di final Piala Malaysia tahun lalu ketika hampir tiada langsung harapan yang diletakkan ke atas City Boys.

Apa yang membezakan kali ini, ramai pihak meletakkan harapan buat anak didik Hodak mencipta sejarah memenangi Piala AFC buat kali pertama terutama selepas mereka berjaya melepasi laluan berliku sepanjang ‘perjalanan’ menuju ke pentas akhir Piala AFC musim ini.

Kapten KL City, Paulo Josue mungkin boleh dijadikan sandaran untuk skuad City Boys menumbangkan Al Seeb, sekali gus menyamai pencapaian JDT yang memenangi Piala AFC pada 2015.

Josue bukan sahaja bertindak sebagai jeneral di atas padang, malah dia juga menjadi peledak berbisa skuad itu dengan mengumpul lima gol dan berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Piala AFC musim ini bersama pemain Viettel FC, Pedro Paulo.

Memandangkan tiada pemain lain yang beraksi di final kali ini memiliki jaringan lebih dari dua gol, mungkin hanya satu jaringan sahaja lagi boleh memberikan Josue gelaran penjaring terbanyak kejohanan.

Walaupun AL Seeb beraksi kurang satu perlawanan berbanding KL City dalam Piala AFC kali ini, namun mereka memiliki ramai tonggak berkualiti tinggi terutama ‘pakar’ hantaran tepat, Eid Al Farsi.

Perancang tengah Oman itu mungkin menjadi ancaman utama buat KL City apabila statistik menunjukkan Al Farsi merekodkan jumlah hantaran tertinggi berbanding pemain lain dalam Piala AFC kali ini dengan ketepatan hantaran 87.5 peratus.

Paling menarik sudah pastinya bagaimana ‘jalan cerita’ aksi akhir itu akan dimainkan kerana berdasarkan persembahan mereka sepanjang kejohanan, dua finalis itu mempunyai pendekatan berbeza dari segi corak permainan.

Al Seeb lebih cenderung mengatasi lawan dengan pendekatan mengawal permainan dan menguasai bola, manakala KL City pula meraih kejayaan dengan menyerap tekanan dan memerangkap lawan menerusi s3rangan balas.

sumber:-HM

Apa yang pasti kedua-duanya pasukan sudah memasang perangkap masing-masing dan hanya menunggu masa untuk melihat jerat siapa yang mengena.