sukan

Hodak tak menyesal

Tiada penyesalan di wajah pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak yang memilih Kevin Ray Mendoza berbanding Azri Ghani untuk mengawal gawang pasukan.

Dalam aksi final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, kesilapan Mendoza pada minit ke-23 yang gagal menepis bola sepakan sudut Ali Sulaiman Al Busaidi dikatakan punca kepada kekalahan di tangan pasukan Al Seeb.

Di akhir perlawanan menyaksikan kelab Oman itu menang 3-0 sekaligus meranapkan impian KL City untuk menjulang mahkota kejuaraan di depan ribuan penyokong sendiri.

“Kevin seorang penjaga gol terbaik di Malaysia, oleh itu tidak timbul persoalan mengapa dia dimasukkan,” kata Hodak pada sidang media selepas aksi itu. Untuk rekod, Azri penjaga gol kedua pasukan yang sebelum ini beraksi cemerlang dalam dua aksi Piala AFC ketika menewaskan Viettel FC dari Vietnam dan ATK Mohun Bagan dari India.

Selain itu, jurulatih yang berasal dari Croatia itu turut mempertahankan keputusannya menurunkan dua tonggak simpanan yang terlalu muda dan veteran pada babak kedua ketika skuad The City Boys amat memerlukan jaringan selepas ketinggalan.

Dua pemain itu adalah Haqimi Azim Rosli yang berusia 19 tahun dan Safee Sali berumur 38 tahun.

“Haqimi hanya bermain 20 minit dan dia sering menunjukkan potensinya dalam permainan liga dan hari ini (malam tadi) dia juga bermain cukup baik dalam perlawanan antarabangsa dan dia pemain masa hadapan Kuala Lumpur City.

sumber:-HM

“Safee seorang pemain lagenda dan kita tak tahu sampai bila beliau akan terus bermain. Jadi sebagai tanda hormat padanya saya masukkannya sama seperti Shukor Adan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu,” katanya.