sukan

Komen Vales mengenai benteng Kedah

Bek import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Marc Vales bertekad memastikan benteng Sang Kenari kekal ampuh pada aksi perlawanan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman Rabu ini.

Bagi pemain kebangsaan Andorra berusia 32 tahun ini, setiap kesilapan lalu perlu diperbaiki bagi memastikan benteng Sang Kenari tidak dibolosi.

“Kami tiada pilihan lain selain mengatasi setiap masalah serta kelemahan sebelum ini dalam usaha mengukuhkan semula benteng kami pada saingan Piala Malaysia kali ini.

“Sebaik tamat Liga Super, kami terus berkerja keras bagi memastikan masalah yang dihadapi tidak lagi berulang di mana Kedah kerap dibolosi dengan begitu mudah.

“Di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih Victor Andrag, saya nampak pemain meletak harapan yang tinggi terhadapnya.

“Selepas saingan Liga Super, saya yakin pemain sudah berpengalaman dalam menyusun semula setiap perancangan yang akan dilakukan pada saingan Piala Malaysia kali ini.

“Perlawanan pertama di laman sendiri Rabu ini adalah peluang terbaik buat barisan pertahanan untuk membuktikan keupayaan kami di hadapan penyokong sendiri sebelum aksi timbal balik pada 1 November depan di tempat lawan,” kata Vales.

sumber:-BH

Kedah mengikat NSFC tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada 17 Mei lalu dan tewas 4-3 ketika perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi pada 8 Oktober lalu.