sukan

Skuad Kim Pan Gon bakal diuji lagi

Taring skuad Harimau Malaya akan diasah sebelum bermulanya saingan Piala AFF hujung Disember ini dengan dua aksi persahabatan bakal menguji anak didik Kim Pan-gon.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman di mana pengurusan skuad kebangsaan diketuai Pan-gon sedang mempertimbangkan untuk mengadakan dua perlawanan persahabahan kemungkinan pada pertengahan Disember nanti.

Katanya, aksi berkenaan cukup penting bagi mempersiapkan pasukan negara.

“Memang ada perancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada bulan 12 nanti sebelum ke Piala AFF. Ikut perancangan akan ada dua aksi pemanas badan dan ia masih dalam perbincangan untuk memuktamadkan pasukan mana yang akan kita temui.

“Buat masa ini saya tak dapat maklumkan negara mana, tetapi memang akan ada dua perlawanan untuk barisan jurulatih menguji pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada saingan AFF kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam, dengan aksi pertama skuad kendalian Pan-gon bertemu Myanmar di Yangon, 21 Disember depan.

Selepas aksi itu, pasukan negara akan menentang Laos di halaman sendiri (24 Disember), diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) sebelum menutup aksi peringkat kumpulan dengan berkunjung ke Singapura (3 Januari 2023).

Jika skuad negara mampu menamatkan saingan di dua tangga teratas, pasukan akan mara ke separuh akhir untuk berdepan dua lagi pasukan terbaik dari Kumpulan A.

sumber:-HM

Pada edisi lalu di Singapura, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila hanya mengakhiri cabaran di kedudukan ketiga Kumpulan B selepas tewas dua kali dan menang dua kali untuk sekadar mengumpul enam mata.