sukan

Nafuzi luah kebimbangan berdepan Sri Pahang

Biarpun Terengganu FC (TFC) diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk melangkah jauh dalam kancah Piala Malaysia musim ini, pengendalinya, Nafuzi Zain mengakui tidak tertekan.

Sebaliknya dia tetap tenang dan sudah bersedia mengharungi perlawanan, bermula dengan pusingan 16 bagi mengintai peluang mara ke pentas final selepas muncul naib juara Piala FA musim ini.

Pun begitu, pengendali berusia 44 tahun itu berkata pertemuan pertama dengan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Khamis ini bakal sukar.

Katanya, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh kini mempunyai kekuatan yang berbeza berbanding dalam saingan liga sekali gus sudah pasti liat untuk ditewaskan.

Sri Pahang FC adalah pasukan sukar untuk ditewaskan selepas meningkat dalam saingan liga. Pasukan mereka juga kuat, jadi beraksi di tempat mereka bukan senang untuk kita menang.

Ketika kita menewaskan mereka di Stadium Darul Makmur pun, pemain terpaksa berhempas pulas untuk mengutip tiga mata. Kini tambahan dua pemain naturalisasi mereka, Lee Tuck dan Sergio Aguero sudah pasti bakal memantapkan lagi pasukan itu.

“Walaupun sukar, kami tidak tertekan malah pemain sudah bersedia sepenuhnya dalam misi mencari bekalan sebelum aksi timbal balik pada 1 November,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya untuk melangkah ke pentas final bagi merebut trofi berprestij itu musim ini, bekas penyerang Terengganu itu menjelaskan setakat ini beliau tidak memikirkan lagi perkara itu.

Sebagai jurulatih, sudah pasti saya ingin mencipta pencapaian terbaik buat TFC. Sekarang kita berada pada landasan terbaik untuk sekali lagi ke pentas final Piala Malaysia. Ianya tidak mustahil jika kita berjaya meneruskan momentum kemenangan.

“Lagipun kita sudah buktikan layak ke final Piala FA sebelum tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT). Begitu juga kita berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan kedua sekali gus mara ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

“Namun buat masa ini, saya tidak memikirkan lagi t3ntang final kerana yang penting kita perlu memikirkan untuk mengharungi perlawanan satu demi satu sebelum mengintai peluang ke final,” katanya sambil mengesahkan dua tonggak importnya, Petrus Shitembi dan Pape Diakite sudah kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan ringan.

sumber:- BH

Dalam saingan Liga Super pusingan pertama dan kedua musim ini, skuad Penyu berjaya menundukkan Sri Pahang masing-masing dengan kemenangan 2-1.