Dua pasukan elit Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) boleh dianggap sebagai ‘jambatan’ untuk Sabah lolos ke Piala AFC musim depan.
Ia kerana, Sabah perlu memenangi saingan Piala Malaysia untuk merebut tiket terakhir ke kejohanan peringkat Asia itu selepas tidak berjaya menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok dua teratas.
Seandainya tidak berjaya memenangi Piala Malaysia, skuad Badak perlu mengharapkan JDT atau TFC muncul juara kejohanan berprestij itu untuk memastikan mereka mendapat slot ke Piala AFC.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan Sabah bakal mengharungi laluan sukar untuk muncul juara Piala Malaysia musim ini kerana berkemungkinan besar akan berdepan JDT jika lolos ke separuh akhir.
Melihat kepada selera besar JDT ketika ini, Pekan menganggap tidak mungkin Harimau Selatan akan melepaskan Piala Malaysia atas beberapa faktor termasuk mahu melakar kejuaraan ‘treble’ buat kali pertama dan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Justeru, beliau berkata, JDT mungkin menjadi harapan utama buat Sabah melangkah ke Piala AFC terutama selepas melihat laluan lebih mudah dimiliki juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu untuk ke final Piala Malaysia berbanding TFC.
Saya fikir JDT tak akan melepaskan peluang untuk menjuarai Piala Malaysia. Pertama, selepas mereka kecewa (tewas di final) musim lalu selain mereka juga mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dan berkeinginan untuk menyapu bersih semua piala musim ini.
Jadi, saya tak nampak bahawa walaupun kita katakan Sabah mungkin akan bertemu JDT (di separuh akhir), tapi saya berasa JDT tidak akan menoleh ke belakang untuk memenangi Piala Malaysia.
“Sabah ada dua pilihan iaitu muncul juara atau mereka perlu berdoa supaya JDT atau TFC muncul juara Piala Malaysia. Orang kata mereka terpaksa bergantung kepada takdir juga,” katanya.
Sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia musim ini, JDT juga boleh mencipta rekod sebagai pasukan pertama yang memenangi empat trofi termasuk Piala Sumbangsih dalam satu musim.
Selain itu, Pekan tidak menidakkan kemampuan pasukan lain untuk menjuarai saingan Piala Malaysia musim ini dan saingan sengit bakal ditampilkan kerana ia menjanjikan satu slot ke Piala AFC.
sumber:- BH
“Nak kata 100 peratus JDT boleh juara tidak juga, tapi keinginan mereka (untuk jadi juara) mungkin 200 peratus. Pasukan lain kita tak boleh nafikan dan mungkin terdapat elemen kejutan seperti yang berlaku pada musim lalu,” katanya.