sukan

‘Drogba Ganu’ mahu ke Sabah, bukan Sabah FC

Berbekalkan sembilan kemenangan berturut-turut dalam kancah Liga Super, peny3rang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche idam buru kemenangan ke-10 apabila pasukannya bakal berdepan dengan Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 pasukan saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar ‘Drogba Ganu’ itu juga berazam untuk menjaringkan gol ke-17 musim ini selepas meledak 13 gol dalam saingan Liga Super dan tiga gol Piala FA.

Tambah pemain berusia 35 tahun itu, rehat yang cukup selepas tamat saingan liga selain rakan sepasukannya berada pada tahap prestasi terbaik bakal menambah lagi tonik buat pasukannya untuk mencari bekalan di tempat lawan sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 1 November depan.

Bagaimanapun pemain paling senior dalam skuad Penyu itu mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan taktikal yang pastinya berbeza bakal ditampilkan pengendali skuad Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh.

“Semuanya berada dalam keadaan baik dan kami juga sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan Sri Pahang terutamanya mendapat rehat yang cukup selepas berakhirnya Liga Super pada pertengahan bulan ini.

“Kejayaan dalam saingan liga dengan menduduki tempat kedua selain layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan bakal memberikan motivasi tambahan kepada kami untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Namun saya akui Pahang pasukan kuat terutama dengan kehadiran bekas rakan sepasukan saya, Lee Tuck dan penyerang mereka, Sergio Aguero, ia bakal menjadi satu perlawanan yang sukar, lagipun pada pusingan kedua mereka mengubah corak permainan dengan prestasi semakin meningkat.

“Tapi seperti yang kita tahu, ia perlawanan untuk memburu satu piala, mesti setiap pasukan mempunyai mentaliti yang berbeza dan semangat serta keyakinan yang tinggi begitu juga dengan kami, tiada sebab untuk kita tidak boleh melepasi pusingan pertama,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin.

Dalam pada itu, Tchetche menafikan dia bakal berhijrah bersama pasukan Sabah FC musim depan sebagaimana heboh dalam laman sosial.

“Saya perlu jelaskan hal ini, saya ada melihat satu video di Instagram mengenai sebuah pulau di Malaysia, ia sangat cantik, dan saya merancang untuk pergi ke sana (Sabah) untuk bercuti.

“Jadi saya tidak tahu bagaimana peminat bercakap perkara ini dengan mengatakan saya akan berpindah bersama pasukan Sabah FC musim depan, tapi setiap orang mempunyai pendapat sendiri.

Sumber : HM

“Buat masa ini saya tidak ada apa-apa kaitan dengan pasukan itu (Sabah FC), saya masih tidak fikirkan apa-apa mengenai destinasi musim depan, saya hanya ingin fokus membantu majikan dalam saingan Piala Malaysia terlebih dahulu,” katanya.