sukan

Hargai tawaran TFC

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain bersyukur selepas ditawarkan kontrak lanjutan setahun lagi bersama TFC sehingga musim depan.

Jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya lebih-lebih lagi skuad Penyu bakal ‘terbang’ ke pentas Asia musim depan untuk mengharungi saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

Namun katanya, fokusnya kini adalah untuk membantu pasukannya melangkah lebih jauh dalam kancah Piala Malaysia.

Terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dan pihak pengurusan TFC Sdn Bhd kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan TFC musim depan, saya begitu menghargainya.

Kedudukan saya sehingga tahap sekarang pun adalah hasil peluang diberikan pihak pengurusan yang memberi tanggungjawab kepada saya membimbing skuad ini sejak tiga musim lalu.

Lagipun pemain begitu cemerlang pada musim ini dengan kejayaan muncul naib juara Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua serta layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan.

“Buat masa sekarang saya mahu fokus kepada saingan Piala Malaysia dalam misi membantu TFC melangkah lebih jauh sehingga pentas final,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak.

Ketika ditanya destinasinya musim depan jika tidak ditawarkan kontrak, bekas striker Terengganu itu berkata, beliau reda dan akan umumkan selepas berakhir Piala Malaysia musim ini.

sumber:- BH

“Jika tiada tawaran daripada TFC, sebagai jurulatih profesional ini lumrah dalam sukan bola sepak dan saya reda, destinasi selepas ini saya akan umumkan sesudah tamat Piala Malaysia,” katanya yang bakal tamat kontrak bulan depan.