sukan

Kim Swee akui bukan prestasi sebenar

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui anak buahnya gagal menunjukkan prestasi yang sebenar selepas sekadar menang tipis 2-1 ke atas pasukan Liga Perdana, UiTM FC pada aksi pertama peringkat 16 pasukan Piala Malaysia, malam tadi.

Keputusan itu jelas memaksa skuad ‘Badak’ untuk terus berusaha keras pada aksi kedua nanti memandangkan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka untuk memburu tiket ke suku akhir.

“Ramai yang mengalami kec3deraan dan masih belum pulih. Barisan pemain yang diturunkan tidak menunjukkan prestasi sebenar terutamanya selepas kita mendahului dengan 2-0 dan memberi peluang kepada UiTM FC.

Kita tahu mereka bermain secara bertahan dan melakukan serangan balas pantas. Ia efektif kerana kita dibolosi pada minit akhir perlawanan selepas kita hilang fokus dan itu perlu diperbaiki apabila kita pulang ke Kota Kinabalu nanti.

“Ini satu keputusan yang baik tetapi secara keseluruhan, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan,” kata Kim Swee.

Pada aksi terbabit, Sabah FC mendahului menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada babak pertama sebelum Maxsius Musa menjadikan kedudukan 2-0 buat pelawat selepas rehat.

Bagaimanapun, George Attram memastikan skuad ‘The Lion Troops’ membawa bekalan satu gol bagi aksi kedua apabila meledak gol pertama UiTM FC di hujung permainan.

Dalam masa sama, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan jentera serangan mereka perlu diperkemas memandangkan kelemahan terbabit mampu membuatkan mereka ‘gigit jari’.

Kelemahan di bahagian serangan kerana kita ada banyak peluang tetapi tidak disempurnakan. Kita mengawal permainan, jadi kita harus mencipta peluang dan menjaringkan gol.

sumber:- BH

“Ini perkara utama yang perlu kita perbaiki selepas ini,” katanya.