Penang FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan Liga Perdana, Kuching City FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Gol pertama skuad Harimau Kumbang menjelma pada minit ke-38 melalui gerakan tepi yang menarik daripada Lucas Espindola Da Silva hasil hantaran pemain gantian, T Saravanan.
Pemain import Brazil itu terlebih dahulu memintas kawalan ketat pemain pertahanan, Aylton Ferreira sebelum memanfaatkan peluang terhidang yang turut menyaksikan posisi Saravanan tidak dikawal sesiapa pada masa tersebut.
Tujuh minit berselang Kuching City bangkit meledak gol penyamaan melalui sepakan percuma Mohamad Aliff Hassan sekali gus menyaksikan kedudukan terikat pada separuh masa.
Sebelum itu, permainan agak hambar dengan tiada percubaan berb@haya sama ada daripada Penang atau Kuching City bagi menguji kubu lawan masing-masing sepanjang 30 minit perlawanan berlangsung.
Bersambung babak kedua, Saravanan hampir membantu Penang mencetak gol pada minit ke-50 apabila dia berjaya menanduk hantaran Jafri dengan Lucas sedia menanti untuk menghasilkan gol penyudah namun ditepis Shaiful Wazizi.
Saravanan sekali lagi mencipta satu lagi peluang untuk rakan sepasukannya Adib Ra’op pada minit ke-52 namun hantaran pemain tengah berusia 21 tahun itu tidak berjaya diterjemahkan dengan gol.
Kuching City terutamanya melalui Abu Kamara yang mengetuai jentera serangan melakukan asakan bertubi-tubi meskipun dikawal ketat benteng lawan.
Penjaring gol terbanyak saingan Liga Perdana itu berganding dengan tiga lagi pemain striker iaitu Mohd Aliff Hassan, Wan Mohammad Faiz dan Amir Amri Salleh namun gerakan mereka kerap dipatahkan skuad Harimau Kumbang.
Buruan Abu Kamara berakhir apabila pemain kebangsaan Liberia itu akhirnya berjaya mencipta gol hasil tampanan kepala Aliff Hassan pada minit ke-73.
sumber:- BH
Ayam tambatan Penang, Lucas Da Silva sekali lagi muncul wira pasukan apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-78 sekali gus menyelamatkan Penang daripada kekalahan.