Keputusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menawarkan kontrak lanjutan kepada jurulatih, Nafuzi Zain dilihat tepat bagi memastikan kesinambungan corak latihan yang diterapkan pengendali itu.
Pandangan itu disuarakan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin yang melihat jurulatih kelahiran Kelantan itu adalah calon terbaik untuk terus membimbing skuad Penyu.
Katanya, jika jurulatih lain menjadi pilihan pihak pengurusan, dibimbangi barisan pemain memerlukan masa untuk tempoh penyesuaian dengan corak latihan apatah lagi TFC bakal ‘terbang’ ke Asia untuk bersaing dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.
Justeru Mohd Isa yang mewakili peminat setia skuad Penyu itu meletakkan harapan yang tinggi agar jurulatih berusia 44 tahun itu menerima tawaran berkenaan dalam tempoh 14 hari selepas surat diberikan.
Berdasarkan prestasi pasukan TFC musim ini, Nafuzi adalah calon terbaik untuk terus membimbing skuad ini pada musim depan dengan lebih cemerlang lagi.
Kejayaan membawa pasukan mencipta sejarah mara ke pentas Piala AFC adalah pencapaian terbaik terutama selepas kempunan beraksi di pentas sama musim lalu kerana wabak pand3mik C0vid-19.
“Jadi sudah tentu corak latihan yang diterapkan pengendali itu perlu diteruskan bagi memastikan skuad TFC mampu bersaing lebih hebat lagi, kami harap Nafuzi membuat pertimbangan yang sewajarnya dan kami para penyokong sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan,” katanya ketika dihubungi.
Selasa lalu, Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan khidmat Nafuzi terus ditagih musim depan dengan kontrak lanjutan selama setahun.
Kriteria pemilihan beliau selepas berjaya membantu pasukan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) musim ini dengan mara ke pentas final Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua serta melangkah ke pentas Piala AFC musim depan.
sumber:- HM
Semalam Nafuzi enggan terburu-buru ‘menghulurkan tangan’ menyambut tawaran lanjutan kontrak itu sebaliknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti klausa yang termaktub dalam surat tawaran berkenaan.