Datuk Dollah Salleh tidak menjangkakan Sri Pahang FC akan dibelasah Terengganu FC (TFC) 1-5 pada perlawanan pertama pusingan awal Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi.
Pengendali Tok Gajah itu berkata, segalanya serba tidak menjadi yang menyebabkan skuad itu tewas dengan jaringan besar di halaman sendiri.
“Pada perlawanan hari ini (malam tadi), serba tidak menjadi dan tiga minit kita melepaskan dua gol iaitu kesilapan besar yang dilakukan.
“Jentera pertahanan begitu longgar, saya macam tidak percaya perkara ini berlaku. Kita cuba bangkit dan berjaya menjaringkan satu gol pada penghujung separuh masa pertama.
“Bagaimanapun, kesilapan sama dilakukan apabila Terengganu berjaya menjaringkan tiga gol termasuk dua gol awal babak kedua.
“Saya tidak tahu apabila pemain berdepan satu lawan satu, mereka tidak dapat mengawalnya yang menyebabkan gawang dibolosi,” katanya.
Pada perlawanan itu, penyerang import TFC, Kpah Sherman muncul wira apabila melakukan hatrik pada minit pertama, 52 dan 90 manakala, masing-masing satu gol oleh Nik Shariff Haseefy Mohd Lazim minit ketiga dan Faisal Halim (m-49).
Gol tunggal Sri Pahang pula dijaringkan peny3rang import, Steven Rodriguez pada minit ke-42.
Di sebalik kekalahan besar itu, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan percaya peluang skuadnya untuk membawa skuad itu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia masih terbuka.
Katanya, walaupun keputusan perlawanan itu dilihat sukar, perlawanan masih lagi berbaki 90 minit.
“Dalam bola sepak tiada yang mustahil dan diharapkan pemain tidak mengalah.
sumber:-HM
“Oleh itu saya mengharapkan barisan pemain dapat melakukan sesuatu apabila bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 1 November ini,” katanya.