sukan

Komen Ramon Marcote terhadap prestasi Kedah

Kedah Darul Aman FC kini berdepan gelora selepas mengharungi enam kekalahan berturut-turut termasuk pada aksi pembukaan Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Rabu lalu.

Apakah sebenarnya yang sedang melanda skuad Kenari selepas pasukan yang dilabel sebagai antara gergasi bola sepak tempatan itu boleh ‘tertomoih’ sebegitu rupa pada musim ini?

Bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote mengganggap Kedah adalah pasukan yang baik, namun tidak bersedia untuk menyelesaikan kontigensi yang muncul apabila tidak menjangkakan akan berdepan situasi sukar pada musim 2022.

Jelasnya, antara beberapa isu yang disifatkan menyumbang kepada ‘kejatuhan’ kelab berkenaan pada musim ini adalah kehilangan beberapa pemain penting pada satu masa sama yang membawa kepada kehilangan pemimpin di bilik persalinan dan atas padang.

“Perkara seperti ini normal, namun apa yang penting adalah mereka perlu mendapatkan pengganti yang betul untuk mengisi kekosongan terbabit. Pemain import yang ditandatangani juga tidak begitu bertuah seperti berdepan kecederaan dan gagal beraksi seperti diharapkan.

“Mereka juga ada bakat muda menarik yang belum lagi dapat mencapai tahap permainan tertinggi tetapi persembahan keseluruhannya tidak dipandang. Anda harus bersabar dengan pemain muda untuk mendapatkan persembahan yang terbaik.

“Selain itu, masalah yang sentiasa berlaku saban musim di mana kebergantungan pasukan ini kepada kemahiran individu untuk menang. Ini kerana permainan dominan dan kolektif yang dimainkan Kedah selama ini sudah hilang.

“Jalan mudah untuk mendapatkan keputusan yang positif adalah menerusi cara berpasukan dan tidak hanya bersandarkan kepada persembahan seseorang pemain,” kata Marcote.

Justeru, Marcote mengharapkan pengurusan dapat memodenkan pasukan dan menambahbaik sumber dan fasiliti yang sememangnya menjadi aspek penting untuk kemajuan sesebuah pasukan.

“Ini adalah isu yang perlu diselesaikan untuk jangka masa pertengahan dan panjang. Saya berada di Sepanyol jadi saya tidak tahu jika mereka berdepan masalah lain yang mungkin mempengaruhi persembahan pasukan.

“Apa yang saya percaya adalah bola sepak semakin berkembang dari tahun ke tahun dan anda perlu bergerak ke depan lebih pantas jika tidak mahu ketinggalan. Kalau tidak, pencabar lain akan memintas anda.

sumber:-BH

“Ini hanyalah pandangan tetapi saya pasti pengurusan sudah melakukan tugas yang terbaik. Mereka ada bakat dan potensi jadi saya harap Kedah dapat kembali semula di tempat yang selayaknya dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya.