sukan

Lima stadium yang dicalonkan untuk piala AFF

Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak antara calon bagi kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 yang bakal membuka tirainya bermula 21 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, cadangan itu sebagai penghormatan kepada negeri selain boleh menyemarakkan lagi sukan nombor satu itu di Terengganu.

Katanya, peminat setia skuad kebangsaan terutama yang berada di Pantai Timur juga dapat menyaksikan dengan lebih pasukan Harimau Malaya beraksi berbanding sebelum ini terpaksa pergi ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kami menyambut baik jika stadium ini (SSMZA) dipilih sebagai salah satu gelanggang kejohanan itu (Piala AFF) lebih-lebih lagi kebiasaannya kejohanan di Lembah Klang.

“Selain sebagai penghormatan kepada negeri, peminat terutama di Pantai Timur dapat menyaksikan kejohanan itu berbanding sebelum ini terpaksa ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Namun ada sedikit lagi yang perlu kita selesaikan di stadium ini, jadi kita cuba selesai terlebih dahulu perkara berkenaan sebelum menerima tetamu,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC juga menyambut baik cadangan FAM memilih SSMZA sebagai gelanggang kejohanan berprestij di Asean itu.

“Jika SSMZA dipilih sebagai venue pertandingan, ianya satu kelebihan buat peminat setia Terengganu untuk menyaksikan pasukan Harimau Malaya beraksi di laman sendiri.

“Selain itu ianya juga menjadi satu tarikan pelancongan kepada negeri di Pantai Timur dengan kehadiran pemain-pemain dari luar negara untuk melihat keindahan serta tempat pelancongan yang menarik.

“Sebagai penyokong kita sangat mengalukan-alukan kejohanan tersebut berlangsung di negeri ini dan kami akan hadir ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan negara,” katanya.

Terdahulu FAM memaklumkan tidak mahu hanya bergantung dengan Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja, jadi selain SSMZA, tiga lagi stadium turut dicalonkan iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sumber HM

Malaysia yang dibimbing jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Vietnam, Singapura dan Laos.