Tunisia berdepan penyingkiran daripada Piala Dunia di Qatar bulan depan susulan campur tangan kerajaan negara itu dalam hal ehwal bola sepak, tegas badan bola sepak dunia, Fifa semalam.
Ahli persekutuan Fifa perlu bebas daripada campur tangan undang-undang dan politik.
Amaran itu diberikan selepas komen berterusan daripada Menteri Belia dan Sukan Tunisia, Kamel Deguiche mengenai cadangan ‘pembubaran biro persekutuan’.
Fifa menganggap kenyataan itu adalah gangguan dalam pentadbiran persekutuan bola sepak negara itu (FTF) dan mahu menteri terbabit menjelaskan lebih lanjut mengenai cubaan campur tangan hal dalaman dan ugutan membubarkan pejabat.
Organisasi beribu pejabat di Zurich itu mengingatkan FTF bahawa ahli gabungannya perlu beroperasi dengan bebas tanpa campur tangan pihak ketiga.
“Kegagalan mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan atau penalti termasuk penggantungan kepada persatuan terbabit,” menurut surat daripada Kenny Jean-Marie, pengarah jawatankuasa Fifa kepada Setiausaha Agong FTF, Wajdi Aouadi.
Jika Tunisia dikenakan hukuman bermakna tiada kelab Tunisia atau skuad kebangsaan negara itu beraksi sama ada di kejohanan domestik atau antarabangsa.
sumber:- HM
Pada Piala Dunia di Qatar, juara Afrika 2004 itu akan menentang juara bertahan Perancis, Denmark dan Australia dalam Kumpulan D.