sukan

Pesanan Azraai Khor buat pengurusan Kedah

Jangan bimbang, Kedah Darul Aman FC masih mampu diselamatkan dan bangkit pada musim depan!

Itu keyakinan yang dilontarkan jurulatih yang pernah membawa Kedah menjulang ‘double treble’, Azraai Khor Abdullah meskipun skuad Kenari berdepan musim 2022 yang suram dengan tersingkir awal dari Piala FA selain menamatkan Liga Super di tangga kelapan.

Lebih parah, juara lima kali Piala Malaysia itu juga di ambang penyingkiran pada pusingan awal saingan terbabit selepas tewas 2-1 di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan perlu bangkit pada aksi kedua di tempat lawan, Selasa ini.

Namun Azraai menegaskan tetap ada syarat iaitu pengurusan perlu membuat kerja dengan betul sekiranya mahukan gergasi bola sepak tempatan itu ‘terjaga dari lena’ dan tidak rebah untuk jangka masa yang lebih panjang.

Kita yakin Kedah boleh bangkit pada aksi kedua nanti kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil tetapi kalau tiada rezeki dan musim kita berakhir lebih awal. Saya harap pengurusan dan bakal jurulatih baharu dapat duduk semeja dan rancang betul betul.

Jika tersingkir awal, kita ada lebih banyak masa untuk merancang (bagi musim baharu). Kalau perancangan bagus, pasukan akan sentiasa berada di atas, lihat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT). Jadi perancangan musim depan kenalah elok-elok.

Cuma itulah sedikit pesanan kepada pengurusan, musim ini sudah tidak betul (perancangan), jadi buat benda bagi betul. Kalau dilihat musim ini, ia menunjukkan daripada pengurusan sehinggalah kejurulatihan, memang gagal.

“Jadi saya sebagai bekas pemain, mantan jurulatih dan rakyat Kedah, saya harap (pengurusan) rancang betul betul pada musim depan untuk kita bangkit. Boleh (bangkit) kerana ada caranya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Kedah yang berdepan musim hambar, Azraai mengakui pembentukan pasukan yang tidak ‘kena’ bagi musim ini menyaksikan pasukan terbabit merudum dan sekali gus gagal memperagakan persembahan berkualiti.

“Apa yang mengejutkan apabila penghijrahan pemain yang selama ini setia dengan pasukan iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali. Mungkin oleh kerana pengurusan merasakan khidmat mereka tidak diperlukan jadi tepuk dada tanya selera, hanya yang terbabit sahaja tahu.

KIta pun lihat Kedah tiada nakhoda atau jeneral. Sebab itulah pasukan seperti tiada haluan. Contohnya lilitan kapten berubah dalam perlawanan. Kalau lilitan kapten sentiasa berubah, itu menandakan pasukan itu tidak stabil.

sumber:- BH

“Selain itu, pemilihan pemain import yang sentiasa bertukar. Kalau dulu ketika saya bersama Kedah, pemain import kita untuk dua ke tiga musim. Jadi daripada situ, ada yang tak kena dengan cara pasukan ini dibentuk,” katanya.