sukan

Belom pasti dapat beraksi atau tidak

Pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Pape Diakite meletakkan harapan tinggi agar dapat bermain pada aksi timbal balik pusingan 16 saingan Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Selasa ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun kelahiran Senegal itu perlu menunggu ‘lampu hijau’ daripada pegawai perubatan berhubung kec3deraan hamstring dialaminya sebelum dapat disahkan sama ada boleh beraksi ataupun menjadi penonton.

Khamis lalu, Diakite yang beraksi cemerlang ketika pasukannya membelasah skuad Tok Gajah 5-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, terpaksa diusung keluar pada minit ke-71 selepas mengalami kec3deraan sebelum digantikan dengan Muhamad Hafizal Alias.

“Setakat ini saya belum pasti lagi sama ada dapat beraksi ataupun sebaliknya menentang Sri Pahang FC pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.

“Ini kerana saya perlu menjalani pemeriksaan lanjut dengan doktor terlebih dahulu selain mendengar apa nasihatnya sama ada boleh beraksi ataupun sebaliknya,” katanya yang baharu musim pertama beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Mengenai kejayaan besar pasukannya menundukkan skuad Tok Gajah, bekas pemain kelab Saigon FC dalam Liga Vietnam itu akui puas kerana pasukannya begitu dahagakan gol dan juga kemenangan.

“Kejayaan ini memberikan bekalan selesa kepada kami sebelum bertarung pada aksi timbal balik nanti di laman sendiri untuk mengintai peluang mara ke peringkat suku akhir.

“Namun walaupun kita berkelebihan empat jaringan, dalam bola sepak apa-apapun boleh terjadi kerana masih ada 90 minit lagi buat kami dan juga lawan.

“Jadi sekiranya saya tidak dapat beraksi, rakan sepasukan perlu bekerja lebih kuat lagi dan beraksi sebagai satu pasukan bagi memastikan tiket ke pusingan seterusnya menjadi milik kami,” kata pemain berketinggian 1.93 meter yang menyarung jersi bernombor 44 itu.

sumber:-HM

Naib juara Piala FA musim ini itu dilihat berperluang cerah mara ke peringkat suku akhir jika berjaya mengekalkan aksi konsisten Selasa ini dengan lawan yang bakal ditentang pada peringkat itu nanti antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) ataupun pasukan Liga Perdana, PDRM FC.