sukan

Satianathan mahu kembali meriahkan Liga Malaysia

Seperti irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan, begitulah juga jurulatih berpengalaman, B Satianathan yang tidak boleh berpisah dengan dunia bola sepak.

Sathianathan, 64, yang sebelum ini dinasihatkan berehat oleh pegawai perubatan daripada mengendalikan mana-mana pasukan bagi membolehkan beliau menjalani rawatan kesihatan, kini sudah pulih sepenuhnya.

Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya dan beberapa pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) itu mengakui mahu kembali bergelar jurulatih untuk saingan musim depan.

Katanya, beliau sedia mempertimbangkan mana-mana tawaran termasuk di luar negara yang pernah ditawarkan kepadanya sebelum ini.

“Saya ini dengan bola sepak dah macam sebati. Saya dah sihat dan doktor juga membenarkan untuk saya kembali aktif bekerja sebagai jurulatih.

“Memang ada perbincangan dengan dua ke tiga pasukan tetapi tak ada yang muktamad lagi. Kalau ada pun (tawaran pasukan luar negara), sebab sebelum ini pun saya ada kelab dari Indonesia yang tawarkan.

“Tapi saya tak fikir masa itu sebab saya ada kontrak dengan Sarawak United. Lagi pun sekarang liga di sana (Liga Indonesia) sudah berjalan dan sebelum ini ditangguhkan pasal isu rusuhan penyokong.

“Apapun pasukan dalam negara masih jadi keutamaan dan saya masih mampu dan sedia untuk mencurahkan ilmu bersama pasukan,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Liga M pada 2010, 2012 dan 2017.

Ditanya rutin dilakukan sepanjang berehat beberapa bulan lalu, Sathianathan mengakui dirinya tidak duduk diam apabila sebaliknya sering membuat analisa dan mengkaji perlawanan di Eropah.

“Saya tak duduk diam. Selepas berehat pada Jun lalu, saya sentiasa melihat dan mengkaji perlawanan luar negara untuk tambah ilmu dalam bola sepak,” katanya.

Antara pencapaian sepanjang bergelar jurulatih, beliau pernah menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.

Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.

sumber:-HM

Dalam saingan Liga M, bekas pemain negara itu turut cemerlang membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).