sukan

Alasan Pan-gon pilih Kemboja dan Maldives

Dua aksi menentang Kemboja dan Maldives bukanlah dibuat secara ‘tangkap muat’ sebaliknya ia melalui proses penilaian dan perbincangan teknikal dari pelbagai aspek sebelum memilih dua lawan itu.

Jelas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, biarpun kedua-dua pasukan itu berada di kedudukan lebih rendah berbanding Malaysia di ranking 146 dunia, dengan Kemboja di ranking 177 dan Maldives di ranking 154, pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala AFF 2022 hujung Disember ini.

“Kemboja salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.

“Kita sudah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini,” kata Pan-gon yang akan mengharungi Piala AFF dengan anak buahnya dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Laos, Myanmar dan Singapura.

Katanya lagi, Maldives pula adalah juara dua kali saingan Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.

“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika jendela antarabangsa pada September lalu dan salah satu pasukan terbaru yang sudah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.

“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala AFF bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” katanya.

Respon Pan-gon itu susulan pendedahan Arena Metro semalam yang melaporkan keluhan kecewa bekas pemain negara, Khalid Ali menyifatkan aksi persahabatan menentang dua pasukan yang berada di ranking bawahan bukanlah standard pasukan yang sudah layak ke Piala Asia.

Jelas Khalid, Malaysia yang sudah layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 nanti seharusnya mencari pasukan yang lebih tinggi bagi memantapkan pasukan negara.

Nada sama turut diluahkan bekas pemain negara era 60an dan awal 70an, Datuk M Karathu, yang bimbang dua perlawanan persahabatan berkenaan akan ‘menjerat’ pasukan.

sumber:-HM

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya akan berdepan Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Maldives pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai perlawanan pemanas badan menjelang Piala AFF bermula 21 Disember ini.