sukan

Tiada yang mustahil

Datuk Dollah Salleh mahu anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi apabila berdepan Terengganu FC (TFC)pada perlawanan kedua pusingan awal Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Justeru, pengendali Tok Gajah berkata, tiada istilah mengalah buat semua pemain, sebaliknya berazam mempamerkan kebangkitan biarpun beraksi di tempat lawan.

“Perlawanan masih lagi berbaki 90 minit dan manfaatkan segala peluang yang ada untuk mendapatkan jaringan.

“Kelebihan gol yang dimiliki lawan memang besar tetapi pemain diharap tidak berputus asa untuk memberikan tentangan kepada lawan,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur pada 27 Oktober lalu, skuad Tok Gajah dikejutkan dengan kekalahan besar 1-5 termasuk melepaskan dua gol awal dalam tempoh tiga minit.

Dua gol itu ternyata memberi kesan terhadap persembahan pasukan walaupun berusaha untuk bangkit pada babak kedua.

Namun, segalanya serba tidak menjadi buat Sri Pahang hingga memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Nafuzi Zain untuk melangkah ke suku akhir piala berprestij itu.

Bagi memastikan tentangan sengit bakal dipersembahkan malam esok, Dollah bersama barisan kejurulatihan bukan sahaja mengukuhkan jentera pertahanan skuad itu.

Malah, katanya, bahagian serangan yang diketuai Steven Rodriguez diharap lebih tajam untuk merobek gawang skuad Penyu.

sumber:-HM

“Memang dilihat sukar tetapi tiada yang mustahil untuk melakukannya, sekaligus membawa Sri Pahang melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.