sukan

Sabah dibelenggu ‘penyakit lama’

‘Penyakit sama’ terus menghantui Sabah FC selepas sekali lagi melepaskan gol di saat akhir pada aksi kedua pusingan 16 pasukan bertemu UiTM FC di Stadium Likas, semalam.

Selepas dibolosi saat akhir menerusi jaringan George Attram pada aksi pertama di Stadium UiTM Shah Alam minggu lalu, ‘dejavu’ berlaku apabila Farez Aiman Marzuki memadam gol Farhan Roslan apabila menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada aksi kedua.

Namun skuad ‘Badak’ tetap lolos ke suku akhir menerusi agregat 3-2 sekali gus menempah pertemuan ‘Derbi Borneo’ menentang Kuching City FC.

“Perkara sama berlaku apabila kita dibolosi saat akhir perlawanan dan ini yang perlu diperbaiki. Kita masih lagi terlampau selesa selepas mendahului dan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Kita harus kekal fokus sehingga wisel penamat. Saya berpuas hati apabila kita layak tetapi dari segi prestasi dalam dua perlawanan ini, saya rasa tidak cukup dan kita harus bangkit jika mahu layak ke peringkat seterusnya,” kata pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Mengulas lanjut pertembungan dengan UiTM FC, bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui ia bukanlah aksi yang mudah buat anak buahnya apatah lagi terpaksa beraksi dalam keadaan hujan dan padang becak.

“UiTM FC juga bermain dengan ramai pemain di bahagian pertahanan. Pujian harus diberikan kepada UiTM FC yang memberikan banyak kesukaran kepada kita untuk menembusi barisan pertahanan mereka,” katanya.

sumber:-BH

Sebagai rekod, Sabah FC belum pernah menjulang Piala Malaysia dengan pencapaian terbaik adalah bergelar naib juara dalam tiga edisi iaitu pada 1996, 2002 dan 2003.