sukan

TFC melangkah bergaya ke suku akhir

Terengganu FC (TFC) melangkah bergaya ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 9-3 ke atas Sri Pahang FC pada aksi pusingan 16 pasukan.

Dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung dalam hujan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak. malam ini, skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain menumpaskan Tok Gajah 4-2 selepas menang 5-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Kuantan, Khamis lalu.

Kemenangan itu menyaksikan gergasi Pantai Timur itu bakal menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir selepas skuad kendalian Bojan Hodak itu menang dengan agregat 4-0 menumpaskan PDRM FC.

Bagaimanapun kemenangan skuad Penyu itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi selepas bek tengahnya, Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah oleh pengadil, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah selepas mengasari penyerang, Steven Rodriguez pada minit ke-38.

Terdahulu berbekalkan hampir 18,000 peminat setia, pesta jaringan tuan rumah bermula menerusi tandukan peny3rang sensasi, Kpah Sherman pada minit kedua selepas menerima umpanan Faisal Halim.

Tersentak gol awal TFC, pelawat memperoleh peluang menarik pada minit ke-11 menerusi rembatan Lee Tuck, namun berjaya ditolak keluar penjaga gol, Suhaimi Husin, begitu juga peluang dimiliki Rodriguez pada minit ke-22 yang diselamatkan Shahrul Nizam.

Tuan rumah kembali mengatur gerakan dan hasilnya pada ke-29, Faisal menambah jaringan kedua pasukannya menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Sherman.

Selepas jaringan itu, pemain tuan rumah bagaikan ‘dirasuk’ apabila menambah gol ketiga menerusi rembatan deras pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Walaupun TFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain, semangat juang mereka tidak luntur apabila mendapat gol keempat pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti Sherman selepas Faisal dijatuhkan.

Tuck yang juga bekas pemain TFC menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk menjadi kedudukan 4-1.

sumber:-HM

Pada minit ke-83, Rodriguez menambah jaringan kedua pasukannya menerusi rembatan padu dalam kotak penalti untuk kedudukan muktamad kekal 4-2.