sukan

Jurulatih dari Indonesia jadi pilihan

Seorang jurulatih dari Indonesia dilaporkan menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk dibawa masuk bagi mengukuhkan struktur kejurulatihan beregu negara yang diketuai Rexy Mainaky.

Difahamkan, jurulatih berkenaan dijangka memulakan tugasannya bersama skuad kebangsaan pada hujung tahun ini.

Ketika ini dia masih mempunyai tanggungjawab melatih skuad utama beregu Indonesia di bawah naungan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Jurulatih berkenaan antara beberapa calon yang melalui proses temu duga bersama Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones dan Rexy selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM.

Calon lain yang turut dipanggil menghadiri sesi temu duga adalah seorang jurulatih dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan selain beberapa calon tempatan.

BAM ketika ini kekurangan tenaga jurulatih dalam acara beregu selepas Flandy Limpele dan Paulus Firman meninggalkan badan induk itu, awal tahun ini.

Flandy yang membantu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu kembali ke pangkuan PBSI sebagai jurulatih beregu campuran manakala Paulus kini memikul tugas selaku ketua jurulatih beregu Singapura.

sumber:- BH

Ketiadaan kedua-dua individu berkenaan menyaksikan Rexy hanya dibantu empat jurulatih dalam acara beregu iaitu Tan Bin Shen, Hoon Thien How, Teo Kok Siang dan Lee Meng Yean.