sukan

‘Kita tidak pernah kalah dengan Selangor’

Rekod pertemuan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan Selangor FC pada kempen Liga Super musim ini ternyata menyebelahi NSFC, namun K Devan tidak mahu memikirkannya kerana khuatir faktor itu boleh membuatkan pemainnya dibuai keyakinan.

Menjelang pertembungan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad ini, pengendali Negeri Sembilan itu mahu pemainnya kekal fokus dalam usaha mempertahankan reputasi pasukan dan memenangi cabaran.

Devan sedar, cabaran di peringkat lapan pasukan terbaik amat berbeza berbanding di saingan Liga Super dan ia bukan sahaja dari segi persembahan setiap pasukan tetapi juga emosi pemain.

“Lazimnya cabaran peringkat suku akhir Piala Malaysia amat berbeza dengan saingan Liga Super termasuk dari segi emosi pemain, namun berdepan Selangor ini, mungkin mereka akan menunjukkan satu persembahan lebih baik untuk mendapatkan keputusan positif.

“Seperti juga ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pertama pusingan 16 pasukan di Alor Setar, pemain Negeri Sembilan beraksi dengan baik sehingga kita meraih kemenangan di tempat lawan itu.

“Jadi, saya yakin dan percaya pada perlawanan pertama dengan Selangor ini, pemain terutama di bahagian serangan akan mempamerkan prestasi lebih baik berbanding apa yang mereka persembahkan sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.

Devan yang juga pengurus pasukan menyifatkan peluang skuad Hobin Jang Hobin memenangi cabaran peringkat itu sama rata dengan Selangor, jika mengambil kira rekod pertemuan sebelum ini.

“Kita tidak pernah kalah dengan Selangor musim ini dan jika ada strategi yang baik serta dapat diterjemahkan dengan sempurna ketika beraksi di gelanggang lawan sepertimana berlaku ke atas Kedah, mungkin peluang untuk mara lebih cerah apabila aksi timbal balik di tempat sendiri.

“Situasi ini akan memberi peluang 50-50 kepada kita untuk menang dan saya menaruh harapan kepada pemain bahawa mereka akan berusaha sehabis mungkin untuk membantu pasukan melepasi halangan suku akhir ini nanti,” katanya.

Pengendali berasal dari Bahau yang meletakkan Negeri Sembilan dalam kalangan empat pasukan terbaik Liga Super musim ini selain menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, percaya anak buahnya boleh melakukan tugas berkenaan dengan baik seperti mana diharapkan.

Negeri Sembilan yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada edisi 2009 dan 2011 mempertaruhkan dua peny3rang berbisa mereka iaitu Gustavo Dos Santos dan Matheus Alves sambil dibantu Yaser Pinto dan Omid Nazari di bahagian tengah.

sumber:-HM

Kelibat keempat-empat pemain import ini bakal menjadi tonggak utama dalam misi Negeri Sembilan mengulangi kejayaan yang pernah mereka capai sebelum ini.