sukan

Zaquan impi julang Piala Malaysia sekali lagi

Ketua pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Radzak mengakui ‘rindu’ mahu membawa pasukannya ke pentas final Piala Malaysia seperti dilakukan pada musim 2011 lalu.

Pada ketika itu, Zaquan yang berusia 24 tahun membantu skuad Hobin Jang Hobin menjuarai trofi itu bersama beberapa nama besar seperti Hairuddin Omar, Shukor Adan dan Shahurain Abu Samah.

Katanya, misi itu tidak mustahil untuk NSFC pada musim ini berbekalkan kualiti pemain yang dimiliki pasukan dan pengalaman jurulatih, K Devan.

“Bukan saya sahaja, jauh di sudut hati pemain lain mereka sudah tentu mahu menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan.

“Sudah tentu apabila mengimbau 11 tahun lalu, memori pernah memenangi Piala Malaysia adalah sesuatu yang manis dan secara kebetulan, sudah lama Negeri Sembilan tidak berada di pentas akhir.

“Segalanya tidak mustahil selepas kami sudah melangkah ke suku akhir dan akan cuba mara sejauh mungkin ke peringkat seterusnya,” katanya.

Anak didik Devan mara ke suku akhir selepas melepasi halangan Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi agregat 2-1 untuk menempah pertemuan dengan Selangor FC.

NSFC bakal bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad ini, sebelum menjadi tuan rumah pada perlawanan kedua suku akhir, 12 November ini.

Untuk aksi dengan Selangor, Zaquan akui semangat rakan sepasukan cukup tinggi untuk berdepan bekas juara Piala Malaysia 33 kali itu.

“Bagi peringkat seterusnya, sudah tentu laluan semakin sukar, namun saya yakin dengan semangat dalam pasukan ini untuk bertemu Selangor.

sumber:-HM

“Sudah pasti jurulatih akan melakukan pembaharuan taktikal, memperbaiki kelemahan dan sesiapa sahaja yang kami temui, semangat pemain akan sentiasa tinggi untuk memberikan tentangan,” katanya.