sukan

Aiman atau Faisal

Status bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu nampaknya bakal dicabar sengit sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Halim yang dijangka berpeluang merebut gelaran ‘Raja’ bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Ia selepas Faisal dilihat memperagakan aksi cukup konsisten sepanjang musim ini bersama skuad Penyu dan pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon, dengan dia sudah meledak 11 gol dalam semua kejohanan tempatan serta dua gol buat Harimau Malaya.

Situasi itu pastinya memberi tekanan kepada Arif Aiman yang turut memberi impak positif buat JDT dengan membantu kelabnya menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia musim ini.

Dua calon ini disebut sebagai pilihan selepas kedua-duanya disenaraikan dalam kategori penyerang terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini dan bakal berlangsung pada hujung Disember secara virtual.

Menurut MFL, acara tahunan berprestij bola sepak tempatan itu diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pencapaian diraih pelbagai pihak dalam arena bola sepak tanah air terutama kepada pemain dan jurulatih dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

“Sudah pasti tumpuan peminat bola sepak tempatan adalah debaran untuk mengetahui siapakah individu bakal dijulang sebagai pemenang selepas mempamerkan prestasi terbaik sepanjang saingan Liga Malaysia 2022.

“Bagi tahun ini, sebanyak 16 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Penjaring Terbanyak Liga Super 2022, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2022, Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2022.

“Ia diikuti Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pasukan Terbaik, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

“Seramai 386 daripada 667 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK22 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori.

“Pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi didaftarkan oleh pasukan masing-masing,” kata MFL yang mengumumkan secara rasmi mengenai ABK22.

Pemenang bagi tujuh kategori akan dibuat oleh 22 ketua jurulatih, 22 ketua pasukan Liga Super dan Liga Perdana dan 22 wakil media.

Sementara itu, bagi kategori Anugerah Pasukan Terbaik akan diputuskan Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play akan ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala Fan XI dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 pula menerusi undian penyokong melalui platform SurveyMonkey bermula minggu depan.

sumber : HM

Bagi Anugerah MVP pula akan dipilih daripada kalangan pemenang empat kategori, iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik, oleh Pan-gon yang juga pengendali skuad kebangsaan.