sukan

Teka-teki hampir terjawab

Teka teki mengenai siapakah jurulatih luar yang bakal dibawa masuk ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus bertiup kencang apabila Pengarah Kejurulatihan Beregu badan induk itu, Rexy Mainaky memberi bayangan mengenainya.

BAM pada ketika ini mempunyai ‘kekosongan’ bagi jawatan ketua jurulatih beregu campuran dan Rexy memberitahu, terdapat perbualan antara dirinya dengan juara dunia dua kali, Tony Gunawan.

Katanya, komunikasi itu hanya lebih kepada perbualan antara bekas rakan sepasukan. Begitu pun, ia turut menyentuh mengenai khidmat ketua jurulatih beregu campuran seperti diperlukan BAM.

“Mengenai perbincangan dengan Tony (Gunawan), ketika itu saya berada di rumah dan kami hanya berhubung menerusi mesej. Kami hanya bertanya khabar masing-masing selain perkembangan semasa.

“Setakat ini, dia ada menguruskan akademi di Amerika Syarikat (AS) dan ianya berjalan sangat baik,” kata Rexy kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini. “Memang benar BAM dalam proses pencarian jurulatih tetapi ia bukan satu tugas mudah,”.

Sebelum ini, seorang jurulatih dari Indonesia dilaporkan menjadi pilihan BAM untuk dibawa masuk bagi mengukuhkan struktur kejurulatihan beregu negara yang diketuai Rexy. Difahamkan, jurulatih berkenaan dijangka memulakan tugasannya pada hujung tahun ini.

Jurulatih berkenaan antara beberapa calon yang melalui proses temu duga bersama Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones dan Rexy selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM.

Calon lain yang turut dipanggil menghadiri sesi temu duga adalah seorang jurulatih dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan selain beberapa calon tempatan. BAM ketika ini kekurangan tenaga jurulatih dalam acara beregu selepas Flandy Limpele dan Paulus Firman meninggalkan badan induk itu, awal tahun ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh mahu spekulasi dihentikan dan terus bersabar memandangkan pelantikan memerlukan proses tertentu bagi mendapatkan khidmat paling terbaik.

“Kami masih yakin dengan program disediakan Rexy dan kita tak nak terburu-buru mendapatkan jurulatih beregu campuran baharu. Paling awal sekalipun, jurulatih baharu itu akan bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.

sumber:-HM

“Ketika ini, kita ada Teo Kok Siang sebagai jurulatih di bahagian beregu campuran,” katanya.