sukan

Brendan Gan impi bawa pulang Piala Malaysia

Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan mahu mengambil pendekatan selamat dengan mengharungi satu demi satu perlawanan sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

Malah, beliau enggan memikirkan soal tiket ke Piala AFC musim depan sekiranya muncul juara Piala Malaysia dengan Red Giants antara pasukan berpotensi selepas mara ke suku akhir untuk menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Jelas Brendan, dia sememangnya mengimpikan untuk membawa Selangor ke Asia, namun skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu perlu berdepan beberapa pasukan handalan lain sebelum menjuarai trofi itu.

“Sudah tentu itu (layak ke Piala AFC) adalah pengakhiran gemilang, tapi kami perlu harungi pelbagai halangan sebelum ke Piala AFC.

“Buat masa ini kita fokus satu demi satu perlawanan dan akan lihat peluang di depan.

“Saya sedar bukan mudah, tetapi kami akan ambil satu demi satu perlawanan untuk capai ke pengakhiran yang baik,” kata tonggak tengah berdarah kacukan Malaysia-Australia itu.

Di pusingan 16 terbaik sebelum ini, anak didik Cheng Hoe mengenepikan Kelantan United untuk mara ke suku dengan agregat 3-0.

Untuk rekod, Selangor adalah juara terbanyak Piala Malaysia apabila 33 kali pernah menjulang trofi itu.

sumber:-HM

Kemaraan ke separuh akhir ini menyaksikan pasukan sarat dengan sejarah gemilang bola sepak tempatan itu meneruskan misi memenanginya buat kali ke-34 musim ini.