Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), sudah sedia dari segala aspek untuk menampilkan persembahan terbaik berdepan Selangor FC, pada suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Pemain pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee berkata, dia dan rakan sepasukan akan turun ke gelanggang lawan itu dengan persembahan lebih bertenaga dan mahu memastikan sasaran kemenangan dapat dicapai.
Tanpa menafikan Selangor adalah pasukan yang sukar ditewaskan, dia bagaimanapun yakin pasukannya sudah ada strategi dalam menangani cabaran itu.
“Walaupun bakal berhadapan dengan cabaran yang sengit dan corak persembahan agresif, saya dan rakan sepasukan sudah sedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Fokus kami adalah untuk mendapatkan keputusan yang baik dengan mengelak daripada gawang kami bolos.
“Untuk itu, kami akan memberikan segala kekuatan untuk mempertahankan kubu pasukan daripada serangan pasukan Selangor dan seterusnya dapat membawa kelebihan sebagai bekalan ketika beraksi di gelanggang sendiri,” kata Khuzaimi, hari ini.
Pemain Harimau Malaya berusia 28 tahun itu antara tonggak penting dalam skuad Hobin Jang Hobin bimbingan K Devan dan sudah pasti kepakaran serta pengalamannya bakal ditagih pasukan itu untuk mengekang setiap serangan Selangor.
Khuzaimi yakin dan percaya semua pemain Negeri Sembilan yang akan dipilih Devan, tidak akan mensesiakan tanggungjawab diamanahkan untuk mendapatkan kemenangan buat pasukan itu.
Dia mengakui betapa semua pemain perlu memanfaatkan peluang terbaik bagi mengekalkan momentum kecemerlangan pasukan musim ini.
“Selepas berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat tanpa diduga, momentum itu perlu diteruskan pada saingan Piala Malaysia, apa tah lagi selepas kami dapat melepasi halangan peringkat 16 pasukan dengan mengatasi Kedah Darul Aman (KDA) FC.
“Kini, dengan peluang yang ada ini, kami perlu terus bekerja keras bagi mencipta kejayaan yang lebih baik musim ini dalam Piala Malaysia pula,” katanya.
Dia yang dijangka bergandingan dengan Nasrullah Hanif Johan, Annas Rahmat dan Herold Mark Goulon di bahagian benteng pasukan itu, berjanji untuk memberikan sepenuh perhatian terhadap perlawanan itu nanti.
sumber:-HM
“Saya amat mengharapkan segala perancangan dan persiapan kami untuk berdepan dengan Selangor dapat diterjemahkan dengan baik dan seterusnya meraih keputusan yang memihak kepada Negeri Sembilan,” kata pemain kelahiran Melaka ini, yang mengimpikan untuk membawa Negeri Sembilan ke pentas final Piala Malaysia musim ini.