sukan

Ujian sebenar buat juara bertahan

Aksi suku akhir berdepan Terengganu FC (TFC) boleh dianggap ujian sebenar buat juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Skuad kendalian Bojan Hodak dilihat berdepan laluan mudah di peringkat 16 apabila meneruskan kemaraan dengan menyingkirkan pasukan Liga Perdana, PDRM menerusi agregat 4-0.

Walaupun memegang status juara bertahan, namun skuad City Boys tetap dilabel sebagai pasukan ‘underdog’ untuk saingan Piala Malaysia kali ini berbanding TFC yang dianggap pilihan kedua selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hodak bagaimanapun menegaskan pasukannya sudah bersedia untuk berdepan anak buah Nafuzi Zain yang juga naib juara Liga Super musim ini.

“TFC ketika ini antara pasukan terbaik di Malaysia, jadi ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Tapi kami akan memberi saingan sengit dan kami sentiasa bersedia,” katanya.

KL City terlebih dahulu akan melayan kunjungan TFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Ahad ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 12 November.

Sentuhan berb!sa Hodak berjaya membantu KL City melakar kejutan besar apabila berjaya mengalahkan JDT 2-0 pada final Piala Malaysia musim lalu, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun City Boys untuk menjulang piala berprestij itu.

Malah, walaupun sekadar menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan keenam, namun pengendali dari Croatia itu sekali lagi berjaya mencipta sejarah apabila memberikan gelaran naib juara Piala AFC buat KL City.

sumber:- BH

Justeru, keupayaan KL City mengejutkan pasukan gergasi harus dijadikan amaran awal buat TFC bahawa mereka perlu lebih berwaspada dengan taktikal yang bakal dimainkan Hodak.