sukan

Dua aksi sensasi bakal berlangsung

Aksi suku akhir Piala Malaysia antara Selangor menentang Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (KL) City berentap dengan Terengganu FC (TFC) boleh dianggap sebagai dua ‘final’ awal kejohanan itu musim ini.

Apa tidaknya, dua aksi itu dikategorikan dalam pertarungan kelas berat atau ‘heavyweight’ untuk Piala Malaysia musim ini dengan masing-masing memiliki reputasi tersendiri.

Lebih menarik, kedua-duanya akan berlangsung di Lembah Klang dengan Gergasi Merah melayan skuad Rusa di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala City Boys pula menanti skuad Penyu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Bagi Selangor, mereka pastinya sedar bahawa Negeri Sembilan bukan calang-calang lawan dan anak buah K Devan pernah memalukan mereka di Stadium MBPJ dalam aksi Liga Super, Julai lalu.

Pengalaman pahit itu mungkin membantu juara Piala Malaysia 33 kali itu untuk lebih berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan bagaimanapun tidak boleh mengharapkan kejayaan menundukkan Selangor 3-2 sebelum ini boleh diulangi terutama selepas Gergasi Merah dilihat memiliki prestasi baik sejak di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai pengendali baharu Gergasi Merah pada September lalu belum merasai kekalahan dalam enam perlawanan di bawah kendaliannya termasuk empat di Liga Super dan dua aksi Piala Malaysia.

Namun, harus diingat bahawa enam perlawanan yang diharunginya sebelum ini boleh dikatakan bukan berdepan pasukan gergasi, dan aksi berdepan Negeri Sembilan menjadi ujian terbesar Cheng Hoe.

Sementara itu, pertembungan KL City dan TFC juga tidak kurang hebatnya apabila menemukan juara bertahan Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim ini.

Walaupun hanya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keenam, namun KL City tetap menjadi antara pasukan kuat terutama selepas mereka baru mencipta sejarah bergelar naib juara Piala AFC, bulan lalu.

Perkara yang paling dirisaukan TFC sudah pasti persembahan luar jangka yang kerap kali ditampilkan City Boys dengan ketua jurulatihnya, Bojan Hodak dilabel sebagai pakar taktikal memerangkap pasukan gergasi.

Bagaimanapun, tekanan juga dirasai KL City kerana mereka tidak boleh melepaskan peluang untuk meraih bekalan untuk dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada aksi timbal balik, Sabtu ini.

Ia kerana TFC memiliki rekod yang baik di gelanggang sendiri apabila hanya tewas sekali di stadium keramat mereka musim ini dan itu pun tunduk di tangan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).