Selangor FC meneruskan misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34 apabila melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
Kemenangan itu cukup berharga buat Red Giants untuk cuba melangkah ke separuh akhir di mana perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Paroi, Sabtu ini.
Selangor nyata menguasai permainan dari setiap sudut daripada awal permainan dengan NSFC lebih banyak bertahan.
Penyerang import dari Brazil, Herlison Caion berpeluang membuka akaun jaringan di minit 16 namun bacaan lewatnya menyaksikan hantaran lintang Hein Htet Aung sia-sia.
Kombinasi Caion dan Htet Aung jelas benar-benar menjadi apabila sekali lagi Htet Aung membuat hantaran lintang cantik tetapi tandukan Caion sekadar menggegar palang gol.
Minit 32, Brendan Gan turut dihidangkan peluang namun kuisannya sedikit tersasar ketika Syihan Hazmi sudahpun tertewas di gawangnya.
Syihan yang juga penjaga gol kebangsaan bertindak cemerlang di minit 43 dan 44 apabila dia melayangkan badan untuk menepis dua percubaan daripada Caion dan Htet Aung buat menamatkan babak pertama tanpa dibolosi.
Begitupun, gawang NSFC akhirnya bocor jua selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti di minit 56 selepas Herold Goulon menjatuhkan Sharul Nazeem dalam kotak penalti.
Tindakan Goulon itu menyebabkan dia dilayangkan kad merah buat NSFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain, dan Caion yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu berjaya meletakkan pasukannya di depan.
sumber:-HM
Kekurangan seorang pemain digunakan sebaiknya pemain Tan Cheng Hoe bagi memburu gol tambahan dan pemain gantian, Aliff Haiqal meledak di hujung permainan untuk gol kedua tuan rumah.