sukan

Juara bertahan Piala Malaysia kecundang

Kuala Lumpur City FC (KL City) yang juga juara bertahan Piala Malaysia semakin hampir ditunjukkan ‘jalan keluar’ dalam kempen musim ini selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Sebaliknya kemenangan buat Terenggganu itu membolehkan mereka memulakan aksi timbal balik di Kuala Terengganu pada Sabtu ini tanpa sebarang tekanan sekali gus berpeluang menyekat impian KL City untuk mempertahankan trofi itu.

Dalam aksi itu, KL City yang dibimbing Bojan Hodak menguasai 10 minit awal permainan dengan sekurang-kurangnya dua peluang terhidang buat tuan rumah di minit ketiga dan kelima namun ketumpulan jentera depan sedikit mengecewakan.

Sebaliknya pelawat yang melakar kemenangan besar di pusingan 16 terbaik dengan membelasah Sri Pahang 9-3 secara agregat mendahului di minit ke-14.

Ia terhasil susulan hantaran lintang Faisal Halim ke dalam kotak penalti yang menyaksikan Kpah Sherman bijak memanfaatkan situasi kelam kabut selepas pemain KL City mendakwa bola terkena tangan lawan.

Gol terbabit adalah yang keenam buat penyerang import dari Liberia itu dalam tiga aksi Piala Malaysia setakat ini.

Skuad kendalian Nafuzi Zain hampir menambah gol di minit ke-19 selepas Faisal tenang mengatasi tiga pemain tuan rumah sebelum dilorongkan kepada Kipre Tchetche yang melepaskan percubaan tepat ke arah Kevin Ray Mendoza.

Skuad The City Boys yang dikecewakan di final Piala AFC apabila tewas 0-3 di tangan kelab Oman, Al Seeb cuba bangkit dan menerusi tandukan Paulo Josue namun tandukan lambungnya sekadar singgah palang di minit 39.

Aksi serang meny3rang terus disajikan pada babak kedua namun pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain di minit 62 apabila penjaga gol Suhaimi Husin dilayangkan kad merah kerana menarik Moralesz.

sumber:- HM

Walaupun beraksi 10 pemain, Terengganu berjaya bertahan dengan baik untuk menyerap asakan tuan rumah sehingga wisel penamat.