sukan

Kalau saya cakap pasal itu mereka akan denda – Hodak

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak enggan mengulas banyak mengenai kekalahan tipis 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Jelas Hodak, beliau memilih untuk tidak menjawab banyak soalan mengenai perlawanan kerana mahu mengelak daripada mengkritik pengadil yang mengadili aksi itu.

Katanya, beliau lebih rela menjadi hipokrit dalam sidang media itu daripada berterus terang yang boleh mengakibatkan dirinya dihukum ekoran mengkritik pengadil.

“Pertama sekali saya fikir suasana malam ini fantastik. Ramai penyokong Terengganu yang hadir dan penyokong KL untuk cipta suasana meriah.

“Semua beraksi dengan baik dan saya fikir kami patut menang, tapi apabila bercakap mengenai perlawanan tak boleh kerana ia menyentuh soal mutu pengadil dan ia tidak ada makna.

“Kalau saya cakap pasal itu (mutu pengadilan) mereka akan denda saya dan saya perlu jadi hipokrit dan tak boleh beri komen,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan sengit itu, Kpah Sherman mel3dak gol tunggal di minit ke-14 buat memberi bekalan tipis kepada skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi timbal balik di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Ditanya perancangan untuk aksi kedua nanti, Hodak menegaskan masih ada 90 minit permainan buat pemainnya untuk cuba menterbalikkan keputusan itu.

“Kami ada satu lagi perlawanan dan akan berikan yang sebaiknya. Saya tahu stadium akan penuh dan ia suasana fantastik untuk bermain,” katanya.

sumber:-BH

KL City adalah juara bertahan Piala Malaysia selepas membenam Johor Darul Ta’zim 2-0 di final musim lalu, sekali gus menamatkan badi selama 32 tahun dengan kali terakhir memenanginya pada 1989.