sukan

Lawan sebenar JDT masih belum muncul

Kemenangan mudah 3-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Kelantan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin menjadi bukti bahawa Harimau Selatan masih belum menemui lawan sebenar dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Menyingkirkan Petaling Jaya (PJ) City dengan agregat 6-0 di peringkat 16, skuad kendalian Hector Bidoglio itu diramal akan mencatat agregat lebih besar ke atas The Red Warriors (TRW) selepas aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Tidak dinafikan kesungguhan yang dipamerkan anak buah Rezal Zambery Yahya dalam perlawanan itu harus dipuji, tetapi hakikat harus ditelan adalah kualiti persembahan JDT jauh lebih tinggi dengan barisan pemain bintang yang dimiliki Harimau Selatan.

Ibarat pertembungan dua darjat dan bukan mahu menidakkan keupayaan Kelantan, namun secara logiknya agak mustahil untuk TRW bangkit dalam aksi kedua di gelanggang keramat Harimau Selatan nanti.

Penyokong Kelantan juga pasti memahami bahawa pasukan mereka tidak sehebat sembilan atau 10 tahun lalu dan taraf JDT juga kini sudah jauh mendahului semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Perkara paling positif aksi Kelantan dan JDT, kelmarin adalah apabila lebih 20,000 penyokong hadir menyaksikan pertembungan itu dan antara jumlah tertinggi selepas kejatuhan bola sepak Kelantan sejak beberapa tahun lalu.

Ia menunjukkan bola sepak Kelantan masih memiliki aura pemain ke-12 yang cukup kuat dan seandainya pengurusan TRW mampu melakukan perubahan untuk musim akan datang, tidak mustahil pasukan itu boleh bangkit kembali ke zaman kegemilangan.

Berbalik kepada JDT, cabaran sebenar Harimau Selatan mungkin akan dihadapi di pusingan separuh akhir apabila mereka dijangka akan berdepan pasukan tangga ketiga Liga Super musim ini, Sabah.

Pertembungan idaman itu bagaimanapun hanya boleh berlaku seandainya pasukan kerdil, Kuching City tidak mencipta kejutan besar ke atas skuad Badak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Jumaat ini.

Kemenangan tipis 1-0 Sabah ke atas Kuching City dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching, kelmarin bukanlah bekalan selesa buat anak buah Datuk Ong Kim Swee.

sumber:- BH

Persembahan lebih meyakinkan perlu ditampilkan skuad Badak kerana impian mereka di Piala Malaysia kali ini cukup besar untuk muncul juara dan menebus kekecewaan meraih tiket ke Piala AFC musim depan.